Tuesday 21 April 2020

Al Fatihah ~ Makngah Pah


Lewat petang semalam, Ummi terima khabar duka dari kampung. Ibu saudara Ummi, Makngah Pah (Tokngah) telah kembali ke rahmatullah kerana sakit tua. Usia arwah 95 tahun. Sedih Ummi, berturut-turut kehilangan ahli keluarga. Tapi apa daya, itulah sunnatullah. Yang hidup pasti akan mati. Sampai masa, kembalilah kepada Pencipta.

Belum sampai sebulan sepupu Ummi, Abg Eil yakni anak saudara merangkap menantu Makngah meninggal, kini giliran Makngah pula. Berat dugaan untuk Makngah sekeluarga terutamanya buat Kak Mah, anak sulung Makngah yang juga balu arwah Abg Eil. Sewaktu pemergian Abg Eil, ahli keluarga di Baling tak dapat berziarah kerana PKP. Bot terakhir ke Langkawi pukul 4 petang. Arwah dikebumikan pada malam tersebut juga. Agaknya sama juga dengan arwah Makngah, mungkin anak cucu di Langkawi tak dapat balik ke Baling untuk menziarahi arwah sebab arwah dikebumikan malam tadi. Makngah (kakak Ummi) pun sempat ziarah tapi sekejap sahaja. Dengan PKP ni, pergerakan agak terbatas.

Gambar kenangan Tok dan Tokngah. 
Kali terakhir kami bertemu Makngah pada hari raya tahun lepas. Ceritanya di SINI.

Kenangan Ummi bersama Makngah banyak berpusat sewaktu kecil, zaman sekolah rendah. Ummi jadi anak tunggal sekejap time tu sebab adik beradik yang lebih tua dah berumah tangga manakala arwah Pakcik pula di asrama. Kemana saja Tok dan Tok Wan pergi Ummi akan dibawa bersama.

Antaranya kami akan ke rumah Makngah dan Paklong yang letaknya berhampiran pekan Baling. Ummi dan Tok naik bas manakala Tok Wan pula menunggang motorsikal. Biasanya Ummi dan Tok akan menuju ke rumah Makngah manakala Tok Wan pula lebih gemar bersantai di rumah Paklong sambil menikmati kopi Maklong.
Suami Makngah, arwah Pakngah Leh ada kebun sayur. Pelbagai jenis sayuran seperti petola, kacang panjang, cili, ubi kayu ditanam. Ummi suka sangat bila masuk ke kebun Pakngah. Apatah lagi bila diminta memetik sayuran tersebut.

Yang paling best, waktu makan tengahari. Masakan kegemaran Ummi yang sering Makngah hidangkan ialah kulat sisir masak lemak dan ikan tamban masak minyak. Memang makan bertambah.

Selepas makan tengahari barulah kami bergerak balik, ikut schedule bas. Kalau terlepas bas pukul 2, terpaksalah menunggu bas pukul 4.30. Tak sanggup! Takde hiburan seperti TV di rumah ibu ayah saudara Ummi ni. Teman Ummi hanyalah kucing-kucing belaan Makngah. Sepupu-sepupu Ummi (anak-anak Makngah dan Paklong) semuanya dah berumah tangga masa ni dan tinggal di rumah sendiri.

Minggu berikutnya, giliran Makngah dan Maklong pula membalas kunjungan. Seronok tau zaman dulu. Walaupun terbatas dari segi kemudahan pengangkutan, tapi sentiasa ada effort untuk berziarah ke rumah saudara mara. One thing that I really appreciate and learnt from the older generation. Duit pun bukannya ada sangat tapi sanggup bersusah payah nak bersilaturrahim.

Arwah Makngah ni handal panjat pokok. Kalau musim buah-buahan, segala jenis pokok dari langsat hingga ke pokok rambai Makngah berani panjat. Maklong pula assistant, tukang kutip buah atau salin timba. Salin timba ni satu kaedah orang dulu-dulu petik buah. Buah yang dipetik, dimasukkan ke dalam timba (baldi) atau bakul yang diikat dengan tali. Bila dah penuh, dihulur turun ke bawah. Yang menunggu di bawah akan masukkan buah tersebut ke dalam raga besar. Timba kosong tadi akan di tarik ke atas semula oleh pemanjat pokok tadi. Kekdahnya... Sambil bekerja, mereka suka bergurau. Makngah kuat mengusik manakala Maklong pula suka ketawa. Memang sesuai!

Itulah antara memori manis Ummi bersama mereka. Bila terkenangkan mereka, tidak dapat tidak Ummi akan teringat arwah Tok Wan. Doa Ummi agar mereka semuanya sejahtera di sana. Besar harapan Ummi dapat kembali berkumpul bersama di syurga kelak. Hidup di dunia ni pun kita rasa dah cukup indah dikelilingi kaum keluarga sahabat handai semua, apatah lagi di syurgakan? Seribu kali lebih indah nikmatnya.

Al Fatihah untuk Makngah 
Halipah binti Che Jah
(1925 - 20 April 2020). 




8 comments:

  1. Semoga rohnya dicucuri rahmat
    Al-Fatihah

    ReplyDelete
  2. Al fatihah, semoga roah arwah dicucuri rahmat...
    Xaman kanak-kanak kenangan mengusik jiwa...

    ReplyDelete
  3. Al fatihah.... salam takziah utk PH dan family.
    Alahai maunya tak sedih bila teringat ingat kenangan lama dengan arwah kan PH... Kalau pompuan mampu panjat pokok tu, mmg kira agresif jugaklah arwah ni ye PH.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih kak.
      Orang dulu-dulu kak, perempuan pun sama lasak dgn lelaki. Sama-sama membanting tulang demi sesuap nasi.

      Delete
  4. Innalillah.. salam.takzih dari mama

    ReplyDelete