Friday 30 June 2023

Nasi Daging Utara


Nasi Daging ni sangatlah sinonim dengan orang Utara, terutamanya di musim raya haji. Regunya pula hanyalah air asam kerisek. Alang-alang ada daging korban Ummi pun masaklah Nasi Daging Utara untuk juadah raya haji ke-2 hari ni. 

Ummi masak dalam Phillips PC. Noxxa Ummi dah pencen 😅

Resepinya Ummi copy dari MyResepi. Tapi, Ummi olah sikit sebab Ummi guna daging mentah. Ala² nasi Arab sikit cara Ummi masak tadi. 

NASI DAGING UTARA

Bahan-bahan:
Daging - direbus empuk dan ketepikan. Air rebusan simpan. Boleh juga guna daging mentah yang dipotong besar² sikit
Beras basmathi 3 pot (rendam 30 minit) - Ummi masak 3 pot beras Basmati + 3 pot beras biasa. Basuh dan toskan. 

Bahan Tumisan:
2 sudu minyak sapi + minyak masak 2 sudu - Ummi guna marjerin Adella je 
Bawang besar 2 biji* - letak 1 biji je
Bawang putih 6 ulas* - letak 5 ulas 
Halia 3 inchi*
* Bahan bertanda dimayang halus

Rempah 4 sekawan (kulit kayu manis/bunga lawang/bunga cengkih/buah pelaga)
Rempah kurma 2 sudu
2 helai daun pandan
Tomato 2 biji
Susu cair 3/4 tin - letak ½ tin 
Garam
Maggi Cukup Rasa 
Air rebusan daging - ikut kuantiti beras @ sukat guna jari 
Daun ketumbar

Ummi tambah; 
1 s/b gula 
1 biji tomato - didadu halus 

Ummi guna Phillips PC, ini caranya; 

1. Tekak button saute, masukkan minyak dan marjerin. 
2. Bila dah panas, tumis rempah 4 sekawan hingga naik bau. Masukkan bahan dimayang halus dan tumis lagi hingga layu.
3. Masukkan daun pandan dan rempah kurma. Tumis hingga pecah minyak. Jika kering, masukkan sedikit air supaya rempah masak sempurna. 
4. Masukkan daging mentah dan gaul sebati semuanya. Biar seketika hingga daging sedikit kecut. Jika button saute auto off, tekan semula. Jika guna daging rebus, masukkan kemudian (selepas masukkan beras).
5. Masukkan beras, susu cair, garam, gula dan air secukupnya. Tutup periuk dan tekan set button pressure cook (function rice). 
6. Bila dah masak, release wap dan buka penutup PC. Masukkan daun ketumbar dan gaul nasi guna garfu supaya nasi cantik dan tak berketul. 

Alhamdulillah nasi Ummi cantik kejadiannya dan daging pun masak elok. Sedap pun sedap ☺️ 

Air Asam Kerisek tu gelap sebab belacan dan keriseknya warna gelap. Ummi buat juga acar timun sebagai pelengkap hidangan. 

Air Asam Kerisek
1. Buat sambal belacan; tumbuk kasar cili padi, belacan, garam dan gula. 
2. Masukkan ke dalam mangkuk dan campurkan hirisan tomato, cili besar, bawang besar, kerisek dan air asam jawa. Gaul sebati semuanya. Bawang, cili, tomato semuanya tu ditekan² dengan sudu supaya keluar rasa dan aromanya. Lagi sedap...
3. Sesuaikan rasa dan siap untuk dihidangkan. 

Limpa Goreng Kunyit, lauk tambahan. 

Nasi Daging Utara ni Ummi bagi sebekas untuk Nenek Rizqi. Tanda terima kasih sebab sebelah pagi Atoknya sama-sama trim pokok nangka dan pokok jambu depan rumah. Hari ni Walid cuti dan Abang pun ada, bolehlah buat kerja ni. Sebelum ni ingat nak upah orang potongkan tapi buat sendiri pun boleh je sebenarnya. 

Alhamdulillah tanah sekangkang kera tempat kami tumpang berkebun ni dah cerah sikit. Pokok kecik² bawah tu Ummi boleh tebas/cabut sendiri je. Yang banyaknya pokok kaduk. Nak kena cabut bagi clear sikit kawasan tu. 

Alhamdulillah, fruitful Friday kata Walid :)





Thursday 29 June 2023

Raya Haji 1444H

Credit source.

Selamat Hari Raya Aidil Adha!

Untuk kesekian kalinya kami sambut raya haji di perantauan. Lebih meriah sebab dapat menyertai ibadah qurban bersama jiran-jiran dan ahli kariah surau. 

Juadah raya kami ...

Rendang Itik Ummi masak style Rendang Ayam Cili Padi. Ketupat Palas pula last minute baru order dengan Mama Kasih. Alhamdulillah ada stok lagi. Asalnya nak beli lemang je tapi rasa tak lengkap pulak raya takde ketupat palas ni. Ummi rebus guna Pressure Cooker (Phillips) cepat dan cantik hasilnya. 

Masak juga nasi putih dan sambal bilis. Lepas solat raya the boys nak tumbangkan lembu jadi kena cukup tenaga 💪

7.40 dah bergerak ke surau. Ngam pukul 8 Tok Imam dah bagi instructions untuk solat raya. 

Sedap suara Ust Aliff Al Hafiz ni. Rasa sekejap je solat dek kusyuk dengar bacaan Surah Al A'la dan Al Ghaasiyah yang dialunkannya. 

Lepas solat, tengok lembu korban. Tahun ni ada 3 ekor lembu sado. Satu bahagian qurban RM2,000.00. Lembu biasa pun ada, 7 ekor. Kambing pun 7 ekor juga. Walid bertugas jaga lembu seekor dan kambing seekor. Abang pula jadi peserta qurban, kena uruskan lembu qurbannya seperti melapah kulit, hiris daging dsbnya. Angah pula jurugegas merangkap tukang jaga beg Walid :D 

Dengan kakak depa, Mel :) 

Khabarnya 800 kupon disediakan untuk agihan daging korban. Selain tu ada bahagian untuk peserta qurban dan petugas. 

Berkat menabung dapatlah kami ambil satu bahagian qurban, alhamdulillah. 

Sementara the boys sibuk menguruskan qurban di surau, Ummi sempat pula meraikan tetamu dan keluar beraya :D 

Goreng bihun untuk Geng Main. Meriah rumah kami dengan kanak² Ribena :D Mel bawa cousins dia datang beraya sekali. Lepas tu pakat melepak tengok telefilem "Kuba Guling, Karipap Pusing" haha... 

Cik Ana dan Mak Bee datang beraya. Cik Aida pun... 

Aneka kuih raya buah tangan dari Cik Aida. 

Kemudian, kami balas kunjungan Cik Ana pula...

Makan nasi hujan panas di rumah Cik Ana. Kek buah tu Cik Ana buat. Sedap, takde bau atau rasa tengit. 

Alhamdulillah urusan qurban selesai menjelang Zohor. Jamuan makan diadakan selepas solat Zohor. 

Lauknya Sup Tulang dan Daging Masak Kicap. 

Alhamdulillah, meriah raya haji kami. 


Tuesday 27 June 2023

Cuti KAMIL & Puasa 7 Zulhijjah

Minggu lepas Isnin cuti, sempena 1 Zulhijjah. Minggu ni pun Isnin cuti, cuti peristiwa sebab SRAI jadi tuan rumah KAMIL Zon. 

Ironinya, bila sekolah depa jadi tuan rumah, depa pula tak jadi peserta 😁 Kakak tarik diri dan Angah pula pergi Mukhayyam Perdana PRS yang tarikhnya back to back dengan KAMIL Zon ni. Ralatlah juga tapi bukan rezeki anakanda berdua. The best is yet to come Insha Allah. 

KAMIL kali ni juga menyaksikan sekolah depa jadi Johan Keseluruhan alhamdulillah. Terbaik semua 👍

Memandangkan sekolah cuti, Ummi ajaklah anak³ puasa sunat Zulhijjah sekali. Adik puasa juga, hingga tengahari. Ialah tak sahur tak apa, memang tak laratlah. 

Masak special la sikit untuk raikan depa berbuka... 

Sotong Goreng Berlada. Berkuah sebab air sotong tu...

Walid belikan sate untuk raikan depa berpuasa...

Sambal Bilis + Udang Geragau kiriman Tok Umi. Angah dapat sambal kering gini, dia gaul dengan nasi je. Ambil ayam goreng seketul, sotong dia tak pandang dah. 

Buka pagar nak buang sampah, eh ada orang bagi bunga janganlah. Alhamdulillah rezeki di malam hari. 

Hari ni sekolah, esok start cuti Raya Haji dah. Insha Allah pakat nak puasa sunat Hari Arafah pula. Insha Allah... 





Monday 26 June 2023

Mukhayyam Perdana PRS 💜

9/6 Angah dapat surat lantikan sebagai Ketua Pengawas Unit Bimbingan & Kaunseling (Ketua PRS). Ummi tak pernah tahu pun kewujudan jawatan ni hihi... Apapun, alhamdulillah rezeki dia. Dah hujung² sekolah, dah masuk darjah 5-6 ni baru terserlah potensi dia. Setiap individu berbezakan...


Sebelum tu, Cg S ada maklumkan Angah terpilih untuk ke Mukhayyam Perdana PRS di Klang, melibatkan 4 murid PRS di setiap sekolah dibawah kelolaan JAIS (SRAI dan MITS - Maahad Integrasi Tahfiz Selangor). 

Masa ni Cikgu dah bagitau dia secara lisan, dia Ketua PRS. Tapi, selagi tak dapat surat lantikan, bagi Ummi tak official lagi. 

Bersama kawan² seangkatan yang lain, di hari penyerahan watikah pelantikan. 

Jumaat, 23/6

Ummi hantar sampai pagar sekolah je... 
Dalam beg Mr Dollar tu bekal Ummi sediakan untuk anak⁴ PRS dan guru pengiring. Risau takut anak lapaq dalam perjalanan 🤭

Khabarnya sekolah sewa van untuk ke sana. Tapi, yang tiba sebiji bas!

Siapa yang tak excited kan tengok bas masuk sekolah 😂 Bertambah kagum, bila 5 orang je yang naik, sebelum bas singgah di SRAI lagi satu untuk ambil 5 lagi penumpang. 

Aturcara program; 


Alhamdulillah dapat cikgu pengiring yang sporting, happy mak-mak bila cikgu rajin share gambar :D 

Beza dengan Abang dulu, masa pergi Sukan SRAI Ummi risau macam² akan keadaannya di sana tapi dengan Angah ni Ummi relaks je. Anak sulung pengalaman sulung juga bagi Ummi kan... Itu yang nervous. Anak kedua ni dah ada pengalaman dengan abangnya jadi lebih tenang. Cuma, Angah kata dia tak lena sangat tidur di asrama, panas. Haha ... 


Selepas 1 hari 1/2 berkampung di MITS Alam Impian, selesai sudah programnya. Nampak Angah happy dan boleh bawa diri sepanjang program, alhamdulillah. 

Waktu balik pun, naik bas juga...

Bas Sekolah Tok Abah :D 

Terima kasih Cg S, jaga anak⁴ kami dengan baik🌷

 




Jambu Tapah


Entry panaskan enjin kata orang, selepas 2-3 hari berehat. Jom kita makan jambu Tapah ni haha...
Jambu Tapah ni merujuk kepada jambu tanpa biji yang biasanya dijual di Hentian Tapah, di Lebuhraya PLUS. Jadi, bila melalui Lebuhraya PLUS ni sekitar tahun 90-an Paklong biasanya akan singgah di R&R Tapah ni untuk beli buah tangan untuk kami di kampung. Abg Aqim dan Abg Anas dijaga oleh arwah Tok Wan dan Tok jadi Ummi pun tumpang sekakilah dapat buah tangan dari Paklong. Arwah Tok Wan pun bila Paklong nak ke ibu kota, memang minta singgah beli jambu ni je. Jambu ni memang special; crunchy, manis dan seedless. Malah, bentuknya juga unik, akan² buah gelugor atau buah labu. 

Dulu, tak banyak R&R seperti sekarang. Jadi, kira jambu batu ni produk istimewa dari Tapah. Sekarang hampir semua R&R atau lay-by terutama di Negeri Perak ada jual jambu tanpa biji ni. Malah di R&R Bukit Gantang  tu macam-macam buah ada. 

Arwah Tok pun kalau balik kampung dengan Paklong atau ke rumah Pakcik,  bila balik semula ke rumah kami mesti bawa jambu Tapah ni. Memang banyak kenanganlah kami dengan jambu ni. 

Kiriman raya dari Tok Umi untuk anak cucu yang akan beraya di perantauan :) Semalam pos, hari ni sampai. Laju betul Poslaju buat penghantaran 👍

Selamat mengejar kemuliaan 10 Hari Terawal Zulhijjah yang masih berbaki 2 hari. 

# Dekat² raya ni rasa syahdu semacam, teringat kaum keluarga terutamanya mak ayah yang dah berangkat ke negeri abadi ☺️ 

Friday 23 June 2023

Takde Rezeki :(

Buah durian Belanda Ummi nan sebiji tu dah dituai. Wak, tukang rumah sebelah bagitau dah boleh ambil tu. Ummi pula dok tunggu kot nak besaq lagi. 

Saiznya hanya sebesar buah sukun. 

Sayangnya, bila dipotong isinya sudah dimakan ulat. 

Memang sejak putik lagi Ummi perasan buahnya nampak kehitaman. Ingatkan angkara semua yang menghurung buah ni. Tapi, bila begini keadaannya rasanya kerja penyengat ni. Takde rezeki... 

Namun begitu, rezeki lain pula menunggu...

Serumpun serai berjaya dituai. Gemuk² serai Ummi. Puashati dapat stok serai segar dan besar gini. 

Walaupun bercucuk tanam ni suka-suka je, bila dapat menuai hasilnya memang seronok. Rasa makin bersemangat nak menanam lagi! 

Wednesday 21 June 2023

Rendang Ayam Cili Padi + Pucuk Ubi


Semalam petik pucuk ubi, ingat nak rebus makan cicah budu je...Tapi, masa nak masak rendang ayam (takde idea dah nak masak apa lauk ayam ni) timbul idea nak masukkan sekali ke dalam rendang. Maka,terjadilah Rendang Ayam Cili Padi + Pucuk Ubi. 

Saja la mencuba resepi baru ni, untuk persediaan Aidil Adha minggu depan ☺️

Resepi: Rendang Ayam Cili Padi + Pucuk Ubi
Sumber: RASA

Bahan-Bahan: 
1 ekor ayam 
½ kg santan
5 – 6 sudu besar kerisik
2 sudu kecil serbuk kunyit
3 batang serai (diketuk)
Minyak (untuk menumis)
Daun kunyit - ganti dengan daun limau purut (disiat)
Pucuk ubi - dibersihkan 
Garam
Gula

Bahan Kisar: 
2 biji bawang besar 
6 ulas bawang putih
Halia 
35 – 40 tangkai cili akar/ cili api (jika nak pedas, boleh tambah lagi) 
[Ummi letak 30 biji, tak pedas. Lain kali kena tambah lagi cili]
4 batang serai

Cara-Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga naik bau.
2. Masukkan serai yang diketuk dan daun limau purut. Tumis hingga naik bau.
3. Masukkan serbuk kunyit, gaul sebati. 
4. Masukkan ayam dan gaul sebati. 
5. Biarkan dalam 10 minit atau hingga ayam kecut. Kemudian, baru masukkan santan, kerisik, garam dan gula.
6. Masukkan pucuk ubi. Reneh hingga kuah pekat, kacau sekali sekala dan sesuaikan rasa. Dah sebati semuanya boleh tutup api. 

Alhamdulillah, sedap kejadiannya :) 
Rasa nak makan dengan pulut kuning, tapi malas la pulak nak membuatnya huhu ... 

Selamat mencuba 🤗

Tuesday 20 June 2023

Buah Setoi & Buah Rambutan

Cik Leha balik kampung, bawa balik buah setoi (buah sentul) untuk Ummi ☺️

Untuk kids, mini cupcakes...

Kopek kulit, cincang² bahagian isi dalamnya. Ambil kicap, gula, cili dan sedikit belacan. Tumbuk² manja, cicah la dengan buah setoi tu. Versi Ummi kat atas ni cuma letak kicap dan gula. 

Malam tadi pula Cik Aida singgah hantar rambutan...

Sedap rambutannya, besar² dan manis isinya. Biskut dan marshmallows tu door gift kenduri kahwin adik Cik Aida. 

Terima kasih jiran-jiranku sayang 🤗

Monday 19 June 2023

Ahlan Ya Zulhijjah


Selamat datang bulan Zulhijjah, bulan istimewa buat seluruh umat. Jika kita biasa meraikan Ramadhan, apa kata kita rebut juga peluang membesarkan 10 Hari Terawal Zulhijjah ini dengan melaksanakan pelbagai ibadah seperti berpuasa Sunat, khususnya pada hari Tarwiyyah (8 Zulhijjah) dan hari Arafah (9 Zulhijjah). Sejak dewasa ni baru Ummi perasan, sebelum tibanya Aidil Adha pun kita berpuasa (puasa Sunat), jadi hari raya tu lagi bermakna rasanya. Feeling macam raya puasa juga... 

Antara amalan² lain yang boleh kita lakukan...

Tak dapat buat semua, jangan tinggal semua dak? Sama-sama kita ambil peluang untuk menambah amal ibadah ان شاء الله

[Photos: Credit Sources]

SRAI dan sekolah² KAFA bawah JAIS cuti sempena 1 Zulhijjah. Ummi masak sikmak lagi :) Kali ni guna santan kotak, dan titiskan sikit minyak masak. Katanya nanti nasi tak berketul. Alhamdulillah menjadi petua ni.