Showing posts with label Al Fatihah. Show all posts
Showing posts with label Al Fatihah. Show all posts

Saturday, 15 August 2026

Al Fatihah | Datuk Musbah

Sabtu | 2 Rabiul Awal 1448H


Seawal jam 9.30 pagi kami dikejutkan dengan berita pemergian Datuk. Arwah Datuk adalah mantan Pengerusi KSIB Batch Abang (Gexxin) dari F1 hingga beberapa bulan sewaktu F4. Kami kenal rapat dengan arwah sebab selalu bertemu di majlis² dan program sekolah. Lebih kerap berjumpa di kantin sekolah, sebab arwah pun rajin melawat anak bongsunya I, setiap hujung minggu. Masing² bagi emotional support dekat anak² yang nak SPM masa tu. Kali terakhir kami sekeluarga jumpa arwah masa Majlis Pengiktirafan Murid Cemerlang (MPMC) bulan 4 tempohari. Arwah sempat hulurkan duit raya untuk Angah dan adik²-nya. Baik orangnya, peramah dan murah dengan senyuman serta mudah didekati. I pun baik dengan Ummi, setiap kali jumpa mesti bersalam cium tangan. Merendah diri macam papanya. 

Datuk rajin komen status Ummi and vice versa. Mesej terakhir, kini jadi kenangan selamanya.  

Malam sebelum dapat berita sedih ni pun Ummi Walid ada berbual tentang arwah. 3-4 hari sebelum tu Ummi ada nampak arwah up status WA, melawat rakan yang bakal menjalani pembedahan. Arwah nampak sihat dan ceria seperti biasa. Walid pun baru minggu lepas berhubung dengan arwah. Arwah sekeluarga nak ke Cherating katanya, bercuti sambil melawat I di Pahang. Arwah rajin call Walid, berkongsi cerita itu ini. Kadang keluar minum bersama. 

Lepas Subuh semalam, arwah jatuh di rumah. Kemudian disahkan meninggal oleh petugas kesihatan. Bila berita ni tersebar, semua terkejut. Tambah² yang baru berhubung dengan arwah sebab arwah bukannya sedang sakit. Ummi Walid pun seakan tak percaya sebab kami baru berbual pasal arwah sebelah malamnya. 

Arwah sebenarnya ada medical history, di mana awal tahun hari tu arwah ada menjalani pembedahan. Mungkin inilah penyebabnya wallahu a'lam. Tapi mudah sangat pemergian arwah. Urusan akhirnya juga dipermudahkan Allah SWT. Dibawa ke masjid untuk mandi, kafan dan solat sekitar jam 9.15 pagi. Dua jam kemudian semuanya selesai dan jenazah arwah dibawa balik ke pangkuan bondanya di Johor sebelum dikebumikan di sana. 

 🤲🏻 اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ

Malam tadi alumni Gexxin termasuk anak², ibu ayah dan para asatizah berkumpul di alam maya menghadiahkan bacaan Yasin dan DOA untuk arwah yang banyak berjasa kepada Gexxin. Bacaan Yasin dipimpin oleh anakanda ZAN, mantan Ketua Badar yang sekarang menuntut di Darul Quran dan doanya pula dibaca oleh Al Fadhil Ustaz Rahimi. Terasa syahdu mengenang kebaikan arwah di samping berasa bertuahnya arwah didoakan oleh para huffaz. Semoga Allah SWT mengangkat doa² kami untuk arwah. 

You'll be missed Datuk. 


Friday, 31 July 2026

Catatan 16 Safar 1448H

Alhamdulillah buah hati Ummi selamat sampai di rumah sebelum azan Subuh. Mid sem break seminggu. 

Ada peneman, Ummi pun rajinlah keluar rumah. Ajak Abang teman ke pasar. Bulan masih memunculkan diri di pagi Jumaat yang barokah. 

Singgah melawat kubur Tok. 
Cantik matahari pagi bersinar terang. 

Beli apam kampung, favorite Ummi. Kesukaan sebab kuih ni Tok selalu buat dulu. Yang tinggal kini hanya kenangan, pengubat rindu yang tak pernah terhenti. 

Sebenarnya hari ni hari yang penuh emosi. Sewaktu menjemput Kakak di asrama, masuk saja dalam kereta Kakak bagitau "ayah kawan Kakak meninggal". Ummi ingatkan kejadian yang mungkin sehari dua berlaku, tapi katanya baru sejam tadi. Allahu Akbar, terus rasa sebak di dada. Bertambah sedih bila dapat tahu abang kepada classmate Kakak ni alumni SRAI, tua setahun dari Kakak. Tidak dapat tidak pasti kenal w/pun dari jauh. Walid sempat singgah menziarahi jenazah arwah di masjid selepas balik kerja. Solat jenazahnya melimpah dengan jemaah. Begitulah Allah muliakan pemergian arwah, digerakkan hati ramai menziarahi arwah termasuk para guru, anak² dan kawan² ahlul Quran (huffaz). Arwah sendiri seorang al hafiz, merupakan Ustaz/guru Al Quran, lulusan UIAM dan Darul Quran. Kemalangan berlaku pun sewaktu arwah balik mengajar Al Quran. Pemergian yang mudah di hari Jumaat yang mulia. Takziah kepada Adam dan Alif sekeluarga. Semoga kuat dan sabar serta dipermudahkan segala urusan. Didoakan agar arwah ayahandanya ditempatkan bersama para solihin hendaknya aamin 🤲🏻 


Saturday, 18 July 2026

Aunty A dalam Kenangan

Throwback 2 Jan 2026. 

Baru saja kami memulakan perjalanan balik ke Gombak, kami terima khabar duka. Aunty A, rakan sepejabat Walid yang sedang berjuang melawan kanser ketika itu telah dijemput kembali ke negeri abadi. Peristiwa 6 tahun lepas kembali menerpa fikiran Ummi. Kami terima khabar pemergian Pakcik pun semasa balik bercuti :( 

AA sebenarnya dah lama kami kenal. Arwah pernah bekerja bersama Walid di sebuah syarikat ni, sebelum sama² kerja di syarikat sekarang. Boss Walid waktu di syarikat lama tu rajin buat family day, makan² dll aktiviti yang melibatkan staff dan ahli keluarga. Dek kerana itu, Ummi pun kenal mesra dengan arwah dan rakan² sepejabat yang lain; Uncle Akmal, Aunty Atiq, Aunty Atiqah dll... 

AA ni kalau raya tak pernah lupa duit raya untuk anak⁴ kami. Kalau balik kampung pun ada saja buah tangan untuk kami. Sangat baik orangnya. Berpersonaliti ceria dan murah dengan senyuman. Kali terakhir Ummi jumpa AA masa event EnviRUNment 2024. Duduk semeja dengan arwah, makan fish & chips Soodap yang sedap sangat tu. Masa tu kesihatan arwah on off  kata orang. Kejap okay, kejap kurang baik. Bila kesihatannya semakin merosot, arwah ada minta nak jumpa rakan² sepejabat. Walid pergi ke IKN, tempat AA menerima rawatan ketika itu. Sempatlah berkirim salam dan AA pun banyak bersembang tentang kami anak beranak dengan Walid. 

Buah tangan terakhir dari AA untuk anak⁴. Tarikh 17.11.2025. Arwah kirimkan duit dan amanahkan kepada Uncle S untuk belikan coklat buat anak⁴ kami. Baik sangatttt arwah ni, sakit² pun masih ingat kami 😭😭😭

Lama Ummi ambil masa untuk tulis pasal pemergian AA ni. Ada trauma yang masih berbekas di hati dan juga untuk menghormati perasaan keluarga dan sahabat² terdekat. Apapun kami sekeluarga sentiasa berdoa agar urusan arwah di sana dipermudahkan, rohnya dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin hendaknya 🤲🏻 



Monday, 2 March 2026

Al Fatihah ~ Naim

11/2 Ummi ada ke Hospital Sg Buloh melawat dua pupu Ummi yang mengalami komplikasi selepas pembedahan di kepala. Terima kasih semua yang mendoakan. Sejak hari tu, saudara Ummi ni (Naim namanya, gelaran Pakteh Naim utk anak²) ditidurkan dan menjalani beberapa kali lagi prosedur pembedahan. Semalam, keadaannya semakin kritikal. Dan hari ini 12 Ramadhan Naim kembali ke negeri abadi sekitar Zohor. 

± jam 6 ptg tadi jenazah dibawa pulang ke kampung kami di Baling. Arwah muda lagi, baru 39 tahun. Anak sulong sebaya Angah, anak kedua muda setahun dari Kakak dan si bongsu sebaya Adik. 

Banyak kenangan manis Ummi dengan arwah sebab kami membesar sama². Ummi berkawan rapat dengan kakaknya, Maklang Liza manakala arwah pula kawan baik dengan Abg Anas. Kali terakhir jumpa arwah raya tahun lepas, di rumah ayahnya Wan Kob. Orangnya ceria dan suka senyum. Memang dia disenangi ramai. 

Perjalanan akhir yang memilukan. 

Selamat tiba di kampung sekitar jam 1 pagi. Semoga tenang di sana Im 🤲🏻

Semoga seluruh ahli keluarga khususnya anak³, isteri, ibu ayah dan adik beradik arwah diberi kesabaran dan kekuatan untuk menghadapi ujian berat ini. Semoga dipermudahkan urusan akhir arwah dan rohnya ditempatkan bersama para solihin hendaknya aamin 🤲🏻 



Sunday, 1 February 2026

Al Fatihah ~ Uncle Hasnul

Salam takziah buat Cik Ana sekeluarga atas pemergian suaminya Uncle Hasnul kira² jam 9.00 pg tadi. 

Jumaat lepas arwah dikejarkan ke Hospital Selayang kerana tak sedarkan diri. Keadaannya dikhabarkan kritikal. Cadangnya hari ni kami nak ziarah, tapi Allah lebih menyayanginya. 

Jenazah dibawa dari HS terus ke Masjid Al Khairiyyah untuk dimandikan dan disolatkan. Selesai solat Zohor, dilaksanakan solat jenazah untuk arwah. Walid dan Angah ikut ke kubur manakala Ummi dan gegirls tumpang kereta Cik Aya balik ke rumah. 


Didoakan agar arwah ditempatkan bersama para solihin hendaknya 🤲🏻 
Semoga Cik Ana sekeluarga tabah dan kuat menghadapi ujian berat ini. 

Al fatihah.




Monday, 20 October 2025

Al Fatihah ~ Kak Zana (Jiran)


Pagi tadi, kejiranan kami dikejutkan dengan pemergian Cik Zana (CZ), jiran kami yang baru² ni diserang minor stroke. Sekejap sakitnya, ± sebulan saja. Seminggu sebelum beliau sakit, bondanya yang tersayang dijemput pulang ke negeri abadi, di rumah CZ sendiri. Kami sama² menangis berpelukan masa tu. Arwah CZ dan Ummi sama² menjaga mak kami yang uzur, jadi kami berkongsi rasa yang sama. Arwah CZ ada bisik dekat Ummi; macam ko la, Akk pun dah takde mak 😭

Rupanya itulah kali terakhir Ummi jumpa CZ:( 
Masa arwah sakit tak berkesempatan ziarah. Sekadar bertanya khabar dengan Cik Ana yang sempat berziarah. 

Tahlil ringkas oleh jiran² sebaik mendengar berita pemergian CZ. CZ meninggal dalam tidur, disedari oleh suaminya selepas solat Subuh dan disahkan kematiannya oleh pegawai perubatan tidak lama kemudian. 

Mesej terakhir kami, sehari selepas bondanya meninggal. Sebenarnya Ummi rindu nak tengok status WA arwah. Sebelum sakit, arwah rajin 'up status'. Apa yang di-post tu selalu jadi topik bual kami. Arwah jenis terbuka orangnya, ceria dan sangat sayang akan keluarganya. Posting-nya sentiasa berkisar tentang rindunya dia pada arwah ayahnya, tentang menu yang dimasak utk bondanya sebelum keluar bekerja, 
tentang kerja, tentang anak menantu, tentang kawan²... Nampaklah dia sangat sayang dan menghargai orang² di sekelilingnya. 

Semoga keluarganya diberi kekuatan dan kesabaran untuk menghadapi ujian berat ini. Ummi pernah rasa kehilangan 2 orang ahli keluarga terdekat dalam tempoh berselang 10 bulan, betapa perit dan pedihnya dugaan tu hanya Allah yang tahu. DOA Ummi agar Abg Zack dan anak²nya juga cekal dan tabah. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Ummi juga nak ucapkan takziah kpd Ustazah Lela atas pemergian suaminya pada 9/10 dan rakan sekolah Ummi, Lan yang kehilangan ibu tercinta semalam (19/10) juga keluarga besar Hj Jamal yang kehilangan 2 orang ahli keluarga minggu lepas; anak arwah Kak Gayah (sepupu Ummi) dan Abg Sahak Pakcik Li (dua pupu Ummi). 

Didoakan agar arwah mereka semuanya ditempatkan bersama para solihin hendaknya aamin 🤲🏻 







Tuesday, 16 September 2025

Al Fatihah ~ Caly

Sedih dan terkejut Ummi dan kawan² bila dikhabarkan salah seorang kawan kami meninggal dunia hari ini. 

Baru semalam kami berbincang untuk menganjurkan majils bacaan Yasin untuknya setelah mengetahui beliau tidak sedarkan diri. Namun, Allah lebih menyayangi beliau. Beliau pergi selamanya kerana breast cancer. 


Susuk yang mesra, sentiasa menguntum senyum serta disenangi ramai. Memang ceria orangnya. Tak banyak kenangan Ummi dengan arwah tapi Ummi mengenali beliau sebagai orang sangat ceria dan baik.  

Semoga keluarganya diberi kekuatan dan kesabaran yang besar dalam menghadapi ujian ini. Didoakan agar arwah ditempatkan bersama para solihin hendaknya 🤲🏻 

Semoga Allah SWT merahmatimu ❤️






Tuesday, 13 May 2025

Buah Durian Belanda

Sementara panaskan enjin kereta, belek² pokok di depan rumah. 

Sekali, terperasan pokok Durian Belanda yang kena timpa dengan dahan pokok besar tu dah berbuah! 

Dah besar penumbuk saiznya. 

Ada lagi! 
Tapi masih kecil yang ni...

Ada yang baru nak berputik.

Pokok satu lagi yang Ummi selalu belai dah takde dah. Yang terbiar ni pula yang berbuah. Harap kali ni ada rezeki merasa hasil tanaman sendiri ni. 

Pokok ni tak besar²...  
Satu hari tu Ummi nampak dah tercabut pokok ni. Tercabut ke tumbang tak pastilah. Akar tunjangnya tak besar² pun. Pernah berbuah sekali, tapi buahnya busuk di dalam. Mungkin silap Ummi tak balut buahnya. 

Alhamdulillah, nangka kembali berbuah. Lama juga merajuk tak berbuah sebab ada orang curi buahnya :( 

Buah yang ini tersepit di celah dahan 😅

Betik pun kembali berbuah.
Patah juga bahagian atas ni dulu ditimpa pokok besar tu. 

Pokok cili pun sedang berbuah 

Bunga lebat tapi yang lekat 2-3 biji je. 
Okaylah daripada takde langsung kan :) 
Bukan benih semai, benih campak² je ni. 

Last but not least, sepasu pokok Bunga Tapak Kucing untuk tatapan semua ☺️

Tapi ini bukan pokok Ummi, Ummi nampak di kejiranan ni. Bila sepasu macam ni memang cantik kan. Yang ni versi ungu pekat. Cantik 💜

#Salam takziah buat seluruh keluarga, rakan dan kenalan 9 anggota FRU yang terlibat dgn kematangan di Teluk Intan semalam. Semoga dipermudahkan urusan semua yang terlibat. 

Al Fatihah.
Didoakan agar roh mereka yang beriman ditempatkan di kalangan para solihin aamin 🤲🏻



Sunday, 27 April 2025

Raya, Raya, Raya

Cerita 28 Syawal...

3 open house raya kami raikan jemputannya hari ni. Sebab tu tajuknya Raya, Raya, Raya 3x :p 

#1 Open House Surau 

Tahun ni ada deko raya di anjung surau. Ajak Adik bergambar, taknak pulak dia. Makan pun tak hendak sangat, nak cari bestie zaman Pasti dia dulu, Pah. 

Ada nasi, kambing golek, sate dan kuih muih. Ini yang kami ambil. Yang tak diambil pun pelbagai jenis juadah lagi. 

#2 Open House Pak Tam & the Geng 

Geng peniaga buat open house juga. 

Atas tu laksa beras, tapi kuahnya macam kuah laksam. Atau mungkin ini yang dipanggil laksa lemak? 

Nasi tomato tu Adik sorang makan, habis sepinggan! Dia cuma makan kambing golek di open house surau itu yang lapar tu. 

Oh ya, Atok Omar tauke Nasi Lemak Kangkung tu dah takde :(  
Atok kembali ke rahmatullah pada Rabu, 24 Syawal. Masa balik kampung raya hari tu dah dengar khabar Atok dimasukkan ke hospital. Rabu lepas dapat khabar duka. Semoga Allah SWT menempatkan arwah di kalangan para solihin aamin 🤲🏻

#3 Open House MTM Mart

Ambil Mee Goreng sepinggan kongsi berdua dengan Walid. Keropok lekor tu sedap tapi mampu makan seketul je. 

Alhamdulillah D, isteri arwah Abe dapat jemputan haji 🤲🏻 

Tak habis lagi acara makan, jenguk anak soleh di asrama, makan lagi. 

Ummi bawa Kek Pisang Coklat dan creampuffs airtangan Acik Solehah. Sekarang payah nak dapat order dengan AS ni, banyak sangatttt tempahan di musim raya ni. Tak menang tangan dia... Ini dapat beli pun sebab ada extra

Ni je Ummi masak; Roti Canai Goreng. 
Leftover sarapan hari sebelumnya, simpan dalam peti ais. Nak masak tu hiris nipis², tumis la bawang cili kisar semua macam nak goreng mee tu... Letaklah telur ke, udang ke ayam ke sbg rencah. Ummi letak sosej. Anak soleh pulun makan, sedap la tewwww :p 

Alhamdulillah. 





Monday, 14 April 2025

Al Fatihah ~ Tun Abdullah Ahmad Badawi

Tun Abdullah Ahmad Badawi atau mesra dipanggil Pak Lah di kalangan rakyat telah kembali ke rahmatullah pada 15 Syawal (14 April) jam 7.10 mlm di IJN. Takziah buat keluarga dan sahabat handai Almarhum. 

Pak Lah, PM ke-5 antara figura yang disenangi ramai. Lama Pak Lah tidak kelihatan di khalayak, sekali sekala perkembangan beliau dikongsi oleh menantunya, KJ. 

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para solihin aamin 🤲🏻 

Al Fatihah. 

Saturday, 22 February 2025

Al Fatihah ~ Opah RELA

Malam tadi ada jiran kongsikan berita pemergian Opah RELA ni. 

Benrlah, mati itu pasti dan sangat dekat sebenarnya kita dengan mati. 

Ummi kenal arwah sebab selalu nampak arwah bertugas di Masjid Al Khairiyyah setiap kali hantar anak² solat Jumaat. Sejak Abang darjah 1 (2015) lagi dah nampak arwah bertugas di sini. Abang dan Angah pun kenal arwah. Baik orangnya wpun kami tak kenal rapat. 

Gambar kecil tu gambar arwah. 
Rata² jemaah masjid kenal arwah. 
Dan katanya anak² sekolah SK sini pun kenal arwah dan arwah mesra dipanggil Opah RELA. 

Al Fatihah utk Opah RELA. 


Takziah buat keluarga arwah. 

Friday, 17 January 2025

16012025 ~ Tahlil Abe

D, isteri arwah Abe jemput Ummi Walid ke majlis tahlil untuk arwah di surau kami ni. Rupanya hari ni genap setahun Abe tinggalkan kami. 
Al Fatihah. 

Alhamdulillah Walid boleh balik awal hari ni, jadi sempatlah ke surau. 

Terima kasih D. 

Semoga Allah tempatkan arwah Abe di taman² syurga bersama para solihin dan muqarrabin. Begitu juga utk semua ahli keluarga dan rakan² kita yang telah mendahului kita 🤲🏻

Tuesday, 14 January 2025

14012025 ~ 4 Berita Kematian 1 Hari

Awal pagi, terima berita suami kepada USS, guru yang mengajar anak⁴ BA di SRAI telah dijemput kembali oleh Pencipta-Nya. Dengarnya meninggal dalam tidur. Mudah sungguh arwah suami Ustzh pergi. Muda lagi, mid 30. Semoga Allah tempatkan arwah di kalangan para solihin aamin 🤲🏻 

Walid juga bagitau Cik, dua pupunya di kampung juga meninggal awal pagi, kira² jam 2. Arwah baru jalani procedure potong kaki akibat kencing manis bbrp hari lepas. 

Menjelang Isyak, dengar pula khabar Prof Kamil dijemput kembali oleh Pencipta-Nya. Almarhum Prof dijangkiti kanser dan kalau tak salah admitted sejak bulan lepas. Semoga Prof beroleh jannatul Firdaus dan dapat masuk syurga tanpa hisab seperti yang selalu didoakan 🤲🏻

Sebelum tidur, terpandang pula status WA sepupu Ummi. Abang iparnya iaitu suami kakaknya, Kak Chah juga meninggal 2 hari lepas. Ummi baru dapat berita wpun katanya dah dimaklumkan dlm group keluarga besar. Bila terlalu banyak info kadang terlepas pandang, esp yang guna voice message. Group tu pula segala macam berita/info dikongsikan wpun tak berkaitan keluarga. 

Didoakan agar mereka semuanya ditempatkan di kalangan para solihin dan Allah Maha Besar mengampunkan segala salah silap dan dosa mereka. 

Al Fatihah. 


Saturday, 28 December 2024

Al Fatihah ~ Hjh Leila

Sekali lagi kami  disapa khabar duka lagi :( 

Seorang lagi sahabat uni dijemput kembali oleh Pencipta-Nya Subuh tadi. 

Arwah diuji dengan sakit kanser. Lama juga Ummi tahu arwah ni sakit cuma Ummi tak berkesempatan ziarah arwah. Recently re-admitted to hospital. 

Bulan 6 lepas arwah dijemput menunaikan rukun Islam kelima. Walaupun dalam sakit dan susah, arwah nak juga jadi tetamu Allah. Syukur Allah jemput arwah ke sana. 

Berseri² wajah arwah ❤️

Hari ni, arwah dijemput kembali ke negeri abadi. Ummi doakan arwah ditempatkan di tempat terbaik disisi-Nya 🤲🏻 

Arwah sungguh beruntung, diimamkan sendiri oleh suaminya, dihantar pulang juga dengan iringan doa dari kedua ibu ayahnya. Rezeki kau La...

Coretan Ust Syed buat arwah. 

Antara kenangan Ummi dengan arwah. 
Arwah agak rapat dgn Mommy Zya, depa 1 course. Ummi pula bff Mommy Zya indirectly baik juga dengan arwah walaupun tak rapat sangat. Adalah juga memori indah kami bersama. 

Al Fatihah untuk Hjh Leila 🤲🏻