Saturday 9 May 2020

16 Ramadhan ~ Pengalaman di Suluk Tok Selehor & Resepi Kuah Kacang 'kacang je'


Semalam di Harian Metro Online dikisahkan tentang Suluk Tok Selehor, seorang ulama besar di daerah Tumpat, Kelantan. Nama sebenar Tok Selehor ialah Hj Abdul Rahman b Utsman. Baca SINI.

Credit: Harian Metro Online / source. 

Suluk boleh difahami sebagai tempat beribadah, beruzlah untuk mendekatkan diri dengan Allah. Uniknya, suluk Tok Selehor ni di dalam tanah, di antara kubur-kubur.  Ummi pernah ke sini sewaktu belajar di universiti dulu. 

Credit: Majlis Daerah Tumpat 

Satu ketika, Ummi ikut satu perkumpulan pelajar ke sini. Kami menaiki keretapi dari Kuala Lumpur ke Tumpat, perjalanan yang sangat panjang namun sarat dengan memori manis. Hampir kesemuanya adalah peserta program manakala Ummi sekadar AJK, bahagian makanan. Sebenarnya Ummi sekadar mengikut Shad. Lebih kepada mencari pengalaman dan keseronokan  mengembara bersama rakan-rakan. Ketua rombongan kami ialah Abg Zaidi. Selain tu, turut serta Abg Amat, Abg Ipin, Kak Wani, Kak Wani lagi sorang, Kak Juli, Kak Asma' dll senior otai semuanya. Rombongan kami ramai, lebih 50 orang. Inilah pengalaman pertama (dan terakhir setakat hari ini) Ummi menaiki KTM.

Sampai di Tumpat, kami disambut oleh Abg Wadi (Datuk Dr Asyraf Wajdi, Ketua Pemuda UMNO/mantan Timbalan Menteri di JPM) dan keluarganya. Datuk ialah cicit kepada Tok Selehor. Salah satu aktiviti kami di sana ialah dibawa melawat suluk Tok Selehor. Peserta perempuan dibenarkan masuk berdua manakala peserta lelaki seorang sahaja. Waktu malam pula tu! Untuk menguji keberanian mereka katanya.

Credit: Harian Metro Online 

Ummi dan Shad masuk bersama ke dalam lubang kubur tersebut. Luasnya boleh muat sekitar 3-4 orang mungkin dalam satu-satu masa. Datuk menjadi tour guide kami. Bila lubang masuk tadi ditutup, suasana sangat gelap dan menyeramkan. Lain macam suasananya. Manakan tidak, jiran-jiran sekeliling adalah mayat! Ada lampu tapi cahayanya samar-samar. Tak pasti tatkala Tok Selehor beruzlah di sini ada lampu atau tidak. Ummi dah tak dengar apa yang Datuk terangkan tentang suluk ni sebab takut sangat. Asyiklah Ummi dan Shad berpegang tangan. Walaupun hanya sekitar 5-10 minit tapi hingga sekarang pengalaman tersebut membekas dalam jiwa Ummi. Sungguh, kubur itu sangat gelap, sangat menakutkan. Justeru, persiapkan amalan kita sebelum dijemput ke sana.

Itulah secebis pengalaman Ummi di suluk Tok Selehor. Kini khabarnya suluk ini dibuka untuk kunjungan orang ramai.

Menu Iftar 16 Ramadhan 1441H

Nasi Goreng Kampung 
Soto Ayam
Bergedil 
Sambal kicap 
Mee 
Kuih Muih
Bubur Lambuk Hj Man
Teh Tarik / Air Soya
Buah Anggur

Berbalik kepada perkongsian resepi, semalam Ummi masak kuah kacang yang mana penyediaannya sangat mudah. Hanya perlukan kacang tanah, bawang, cili kisar, air, minyak serta gula dan garam.  Kacang je nak buat pun :D


Kuah Kacang 'Kacang Je'
Sumber: Says.com


Bahan-bahan
500g kacang tanah (dibuang kulit)
2 biji bawang (dihiris nipis)
Cili boh
Garam
Gula Melaka
Gula

Cara-cara
1. Sangaikan kacang tanah tanpa minyak di dalam kuali sehingga warna kacang bertukar gelap. Gunakan api kecil sederhana dan sentiasa mengacau kacang supaya tidak hangit. (Ummi goreng dalam air fryer - 160°C, 20 minit).
2. Selepas itu, keluarkan kacang daripada kuali, buang kulit dan kisarkan bersama air. Kisar kasar @ halus ikut kesukaan masing-masing. Ketepikan seketika.
3. Di kuali lain, panaskan minyak dan tumiskan bawang yang telah dihiris hingga garing.
4. Kemudian, masukkan cili boh ke dalam tumisan dan sambung menumis sehingga cili pecah minyak.
5. Selepas cili telah pecah minyak, masukkan kacang yang telah dikisar sebentar tadi.
6. Tambahkan air mengikut kepekatan yang diingini. 
7. Gaulkan semuanya sehingga kacang betul-betul masak (anda boleh cuba dan rasa sendiri).
8. Akhir sekali, perasakan dengan garam dan gula sehingga cukup rasa. Siap. (Ummi letak gula melaka + gula putih)

Selamat mencuba!

3 comments:

  1. Allahuuu....seram jugalah masuk dalam tu 😢

    ReplyDelete
  2. Dari awal puasa nak buat sambal kacang tapi belum buat-buat lagi. tunggu menu yang sesuai baru buat. sedapnya makan dengan nasi impit.

    ReplyDelete
  3. Wah.. kuah kacang yang kacang je.. Sedap ini makan dengan nasi impit..

    ReplyDelete