Sunday 5 May 2019

Nostalgia Ramadhan ~ Menanti Pengumuman Puasa.


Hanya beberapa jam lagi, jika diizinkan-Nya akan bertemulah kita dengan Ramadhan, bulan yang penuh rahmat. 

Dulu-dulu masa Ummi masih di alam sekolah rendah, waktu paling dinantikan menjelang ketibaan Ramadhan ialah pengumuman tarikh puasa oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. 

Sebelum adanya bekalan elektrik di kampung kami, pengumuman hanya diperolehi dengan mendengar radio kecil yang berfungsi menggunakan bateri. Itu pun hanya beberapa orang sahaja yang mampu memiliki radio ketika itu. Salah seorang darinya ialah Wan Lang, sepupu merangkap jiran terdekat Tokwan. Bila dengar kata puasa, Wan Lang akan 'mengeloi' (melaung) memaklumkan kepada jiran-jirannya tentang tarikh puasa. Bila bekalan elektrik disalurkan di kampung kami pada pertengahan tahun 80-an (kalau tak silap), Wan Lang juga satu-satunya penduduk yang memiliki TV. TV hitam putih. Bila dah ada TV, kami beramai-ramai akan berkumpul di rumah Wan Lang menonton pengumuman puasa.

Waktu tu memang thrill nak tahu tarikh puasa/raya sebab bergantung sepenuhnya dengan pengumuman Penyimpan Mohor Besar. Disebabkan itu, nama, wajah dan suara beliau terakam dalam ingatan hingga kini. Al fatihah untuk Allahyarham Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah. Dari Ummi kecil sampai dewasa memang beliaulah the one and only Penyimpan Mohor Besar yang dikenali sehinggalah beliau kembali ke rahmatullah beberapa tahun lepas. 

Kalau hari hujan atau mendung, kami biasanya mengagak bahawa anak bulan tak kelihatan. Tak pernah terfikir bahawa jika di puncak Gunung Jerai (salah satu tempat melihat anak bulan) tak kelihatan anak bulan, bukan satu Malaysia tak nampak anak bulan. Mungkin anak bulan muncul PD! Maklumlah keterbatasan maklumat, komunikasi dsbnya memberi ruang untuk berspekulasi. 

Bila tiba waktu berbuka pula, kami akan menadah telinga mendengar paluan gendang raya dari masjid. Ianya dipanggil gendang raya kerana saiznya yang besar. Hari raya hari besar, gendang raya gendang besar 😁 Rumah Tokwan paling hampir dengan masjid, jadi bila dengar paluan gendang yang sayup-sayup je bunyinya, Tokwan akan 'keloi' Wan Lang "Boleh buka (puasa) dah". Wan Lang pula akan memanjangkan info kepada Wan Kob dengan cara yang sama. Masalah akan timbul jika hari hujan. Tak dengar bunyi gendang! 

Zaman sekarang maklumat semuanya di hujung jari. Nak tahu tarikh puasa/raya, waktu solat dsbnya sangat mudah. Just a click away. Tarikh puasa/raya tahun depan pun dah 'confirm' 🤭

Selamat berpuasa buat semua teman pembaca blog Ummi. Jom tingkatkan amal, perbaiki puasa kita serta berazam untuk 'graduate' dari madrasah Ramadhan dengan cemerlang. 

Credit source. 


11 comments:

  1. Penantian pengumuman puasa/raya memang nostalgia satu waktu dahulu.. Sekarang dah kurang keseronokkannya..
    Selamat berpuasa..

    ReplyDelete
  2. Selamat berpuasa, Puan Hazel and family!

    ReplyDelete
  3. sama la kenangan saya masa kecik2 dulu PH memang tertunggu2 la pengumuman puasa dan raya ni, paling best kalau nak tunggu raya tu berdebar2 je sama ada nak merendang melemang dulu ke nak tunggu pengumuman dulu hehehe

    ramadhan kareem PH

    ReplyDelete
  4. Yela PH dulu dulu thrill nak tau pengumuman puasa, satu lagi pengumuman Raya....Nak masak utk Raya mmg tunggu pengumumanlah kekdahnya..... Dulu dulu kalau pengumuman tu tak tentu Raya lagi kan. Seronok bila difikir balik ek

    ReplyDelete
  5. aida masih suka tunggu pengumuman raya.
    best!

    ReplyDelete