Wednesday 21 March 2012

Happy B'day Sayang!

Aduh, sakitnya kepala, berdenyut-denyut. Sungguh saya sangat lemah ketika itu, dengan suhu badan yang agak tinggi saya hanya mampu terbaring. Abang yang baru berusia lebih kurang 2 tahun ketika itu saya biarkan bebas bermain di dalam rumah. Saya tidak larat, sampaikan solat saya hanya mampu dikerjakan dalan keadaan duduk. Hubby pula berada jauh di Sabah ketika itu. 

Saya terlena, sedar hanya apabila dikejutkan oleh Abang. Terkejut amat saya, habis dicontengnya sofa... Alahai abang, nasib baik ummi demam.. 

Rupanya, ada hikmah yang terlalu indah di sebalik ujian kecil tersebut. Saya mengandung rupanya. Alhamdulillah, sungguh saya amat bersyukur atas kurniaan di luar jangka ini. Semenjak disahkan mengandung, bermulalah morning sickness dan sewaktu dengannya. Untuk 3 bulan pertama tekak saya tidak mampu menerima sebarang makanan. Saya gagahi juga untuk berpuasa ketika kandungan masih di trimester pertama. Untuk berbuka saya hanya mampu minum air soya / air kelapa dan untuk sahur hanya air masak. Itu sahaja sehingga masuk minggu kedua saya menjadi tersangat lemah. Lalu saya berjumpa Doktor. Doktor " Air kencing kamu kotor nie, bahaya untuk kandungan. Saya refer kamu ke hospital". Saya "bahaya ke Doc?". "Bahaya pada baby nanti". Terus air mata saya menitis. Saya sanggup menerima apa jua kesakitan, tapi jangan sesuatu terjadi pada bayi saya, doa saya dalam hati. Sungguh emosi waktu itu.

Ketika berjumpa Pakar Gynea, saya diberitahu kandungan saya sihat, tiada apa perlu dibimbangkan. Hanya ibu yang perlu berehat dan dimasukkan air. Akhirnya saya ditahan di wad l dan dinasihatkan agar tidak berpuasa. Saya akur kerana kepentingan kandungan saya. Namun, selera makan saya masih belum hadir. Apatah lagi, tatkala orang lain berpuasa, kita disuruh makan. Memang sangat-sangat tidak best!

Alhamdulillah segalanya kembali normal selepas kandungan berusia 4 bulan. Kami suami isteri mula membiasakan diri memanggil Fawwaz dengan panggilan Abang, disamping sentiasa memberi ruang untuk dia mengusap perut saya dan bercakap dengan adiknya. Saya mahu pertalian mereka terjalin sejak dari awal lagi.

Akhirnya tanggal 12 March 2011 anakanda yang amat dikasihi "dermawan" ummi lahir ke dunia. Masih belum berlaku contraction tetapi memandangkan masalah kesihatan saya, genap 38 minggu Opal dilahirkan.

Bagaimana proses itu berlaku? Biarlah ia menjadi kenangan terindah dalam hidup saya. Namun, melahirkan Opal lebih sukar dari Abang. Dan untuk beberapa jam pertama selepas pembedahan, saya masih terlalu lemah untuk mendakap buah cinta nan seorang ini. Dek kerana lemah juga saya agak 'lali' kali ini. Beberapa kali dihulurkan bayi kepada saya, saya lebih memilih untuk berehat. Saya terasa amat lemah dan mengantuk ketika itu. Saya nampak suami, Abang dan mak begitu gembira bergilir-gilir mencium buah hati saya, tapi saya hanya mampu memandang. Panggilan telefon dari Ummi juga tidak saya sahut, saya terlalu letih...

Hari demi hari dia membesar dengan sihat. Berbanding Abang, Opal lebih aktif dan lasak. Seperti yang saya coretkan di FB, "syukur alhamdulillah.. hari ini genap setahun umur anakanda Nawfal yang amat2 dikasihi. Ummi doakan anakanda sentiasa kaya - kaya ilmu, kaya amal, kaya budi bahasa, kaya dgn kasih sayang, kaya senyuman dan segala yang terbaik untukmu di dunia dan di akhirat..." 

Itulah hadiah terindah dari saya untuk Opal sempena ulang tahun pertama kelahirannya.


No comments:

Post a Comment