Tuesday 13 March 2012

Book Review - Noorah



GB0145 : Noorah

Pengarang : Ummu Hani Abu Hassan
Tebal : 304
ISBN : 978-983-097-310-4
Harga : W/M:RM20.00 E/M:RM22.00

SINOPSIS
Sebuah bacaan yang penuh inspirasi, ketabahan seorang wanita menghadapi bermacam-macam siri ujian daripada Allah wajar ditekuni oleh pembaca! NOORAH merupakan sebuah kisah benar mengenai kisah hidup seorang wanita Inggeris berhati tabah. Perjalanan hidupnya penuh dengan cubaan. Zaman remaja dilatari dengan pelbagai tragedi hitam sehingga dia disumbat ke penjara Yorkshire. Sama saja bagi Kathryn Bennet sama ada dia tinggal di rumah atau menghuni penjara juvana di Yorkshire. Kedua-duanya dahsyat dan teruk. Namun segalanya berubah selepas dia berhijrah ke Bahrain, seterusnya ke London untuk bergelar Muslimah. Itu saatnya dia sentiasa dapat menghirup sisa manis dalam wadah ujian Allah. Maka dia masih boleh tenang melalui kepahitan hidup berumah tangga. Dia pasrah meredah ribuan kilometer untuk menjejaki tiga anak yang dilarikan bekas suami. Dia redha bergelar ibu tunggal kali kedua dan sekali gus mengambil peranan ayah untuk menyara enam orang anak di kota London. Dia juga mampu sabar diuji penyakit digeruni. Kerana dia yakin dengan besarnya hikmah di sebalik musibah.

PERSONAL REVIEW
Mula terpandang buku ini saya teruja, salah satunya kerana ia tulisan Ummi Hani. Saya selalu mengikuti tulisan beliau di dalam Anis dan juga blog beliau. 

Saya akui Noorah seorang wanita yang sangat tabah. Hidup beliau penuh dengan ujian. Semoga Allah mengangkat darjatnya dek segala onak duri ranjau kehidupan yang di laluinya. Walaupun beliau saudara baru selain diuji dengan penyakit kanser tetapi kasih sayang dan keprihatinan beliau terhadap saudara seagama  amat mengagumkan. Beliau menyertai konvoi Viva Palestina dari London ke Gaza melalui jalan darat untuk menghadiahkan kereta beliau kepada rakyat Gaza agar dapat dimanfaatkan oleh mereka. Pelbagai rintangan diceritakan dalam buku ini. 

Keterlibatan beliau dan rakan-rakan dalam mempertahankan Islam di kota London juga amat menginsafkan. Betapa mereka amat-amat menghargai nikmat iman dan Islam yang Allah kurniakan sehingga mereka tidak lokek untuk mendahulukan kepentingan agama dari kepentingan diri sendiri.

Walaubagaimanapun, saya kira buku ini akan lebih menarik sekiranya di olah dalam bentuk novel. Saya kurang menjiwai buku ini kerana penulis menceritakan secara langsung (penceritaan direct) tentang Noorah. Sekiranya buku ini ditulis oleh Noorah sendiri, mungkin perasaan dan penjiwaannya lain. Namun, tahniah kepada penulis di atas kelahiran buku ini, semoga menjadi inspirasi untuk wanita Muslimah di luar sana.

p/s: Saya amat berbesar hati untuk berkongsi buku ini dengan anda. Sekiranya anda ingin meminjam (baca: menyewa) buku ini sila hubungi saya. 

No comments:

Post a Comment