Thursday 26 December 2013

Tea with Dear Friends


Manisnya pavlova, semanis itulah persahabatan kami

Dec 25, 2013

 Kami menerima kunjungan sahabat karib saya Z sekeluarga dan SM. Mereka ingin berkenalan dengan ahli keluarga baru kami, Balqis.

Z adalah sahabat baik saya yang sudah dianggap seperti saudara sendiri. Lebih sedekad kami bersahabat. Mungkin saya perlu masukkan satu post khas untuk sahabat saya yang amat istimewa ini, sebagai tanda terima kasih kerana sentiasa disisi saya saat susah dan senang. 

Manakala SM pula adalah teman serumah sewaktu masih bujang. Sewaktu saya & Z mencari teman serumah, kami mengajak SM tinggal bersama. Maka bermulalah kisah 3 dara pingitan, sama-sama membina kehidupan selepas tamat belajar. Banyak kenangan pahit manis kami lalui bersama. Peristiwa seram sewaktu tidur di IOA juga masih kekal diingatan.

Antara kami bertiga, saya yang paling awal berumahtangga diikuti Z setahun kemudian. SM masih membujang hingga kini. Dia kini sedang menyambung pelajaran di peringkat PhD. Siapa sangka, dia yang paling 'malas' kini sedang berusaha untuk bergelar 'Dr'. 

 Saya dan Z memang sentiasa berhubung. Kali terakhir bulan Jun lepas saya menziarahinya. Berlainan dengan SM, cuma sesekali bertegur sapa di laman FB. Bila bertemu muka, memang banyak cerita yang dikongsi. Masing-masing berebut hendak bercakap, riuh rendah jadinya. Ditambah lagi kerenah anak-anak. Ia pertemuan yang sungguh mengujakan.

Saya hidangkan bihun goreng dan pavlova sebagai pemanis mulut. Resepinya saya pinjam dari dapur adanyakauuntukku. Terima kasih tuan dapur. Ini percubaan pertama saya, Alhamdulillah menjadi tapi masih perlukan penambahbaikan terutamanya dari segi kemanisannya.

Terima kasih sahabat kerana meninggalkan kemanisan dalam hidup saya. Panjang umur kita jumpa lagi, insha Allah.


No comments:

Post a Comment