Saturday, 31 October 2026

Ninjaz Special Clearance Sale @ Prima Sri Gombak


Ninjaz Sri Gombak ni tengah buat clearance sale sampai 2 Nov (Isnin). Petang semalam kami singgah la tengok apa yang best. Ternyata banyak juga yang menarik hari. Itu yang laju Ummi up entry ni supaya yang berminat boleh ke sini. 

Depa buka khemah atas 5 parking lot. Banyaklah jualannya tu kan... Ummi tanya staff dia, nak pindah ke? 

"Eh tak, buat jualan akhir tahun ni nak clear kan stok"

Lega Ummi dengar, sebab anak-anak selalu ajak Ummi ke Ninjaz ni. Kalau pindah susah juga kami :) 

Ada barang serendah seringgit je... 

Hotwheel cars, ada yang 5 ringgit, ada yang 10 ringgit. Abang kecik-kecik dulu sukalah mainan ni. 

Earphone RM 5 je. 
Yang bagusnya diorang test dulu function ke tak setiap earphones ni sebelum kita bayar. Ummi ada ambil 1 set ni, bila staff dia tengok phone Ummi (nak test) rupanya tak compatible dengan lubang earphones dekat phone Ummi tu. Yang Ummi ambil tu jenis petak, phone Ummi  jenis bulat tempat cucuknya tu.

Tak tau la kuat ke tidak angin mini fan ni. Tak beli pun la wpun kalau nak buat gift comel-comel, mur-mur tu sesuailah ni... 

Botol air, toys pun banyak pilihan juga

Beg tu lawa... 

Yang ikut kami balik; 

Lampu tidur, RM5 je ... 

...tapi lawa 😍 
Rasa macam nak pergi beli lagi, buat hadiah untuk anak-anak & cucu-cucu buah  :D 

Beg ni Adik pun berkenan, ambillah 1. 
Dapat sekali 3 button batch. 
Ni pun macam nak pi beli lagi, RM 10 je. 
Hujung-hujung tahun ni kan banyak nak buat gift exchange events esp gegirls Ummi ni. Boleh la stand by hadiah siap-siap. Yang bertukar hadiah depa, yang dapat hadiah pun depa. Tapi yang prep hadiah ni Ummi depa 😉

5 ketul ni pun ikut balik. 
Singgit je satu. Ni pun sesuai nak bagi gegirls kan. Depa suka gantung dekat beg. Hari tu Ummi dengan Adik nampak ada sorang cikgu KAFA pun gantung keychain gini dekat beg beliau. Cikgu pun minat hehe...  

Ummi ambil 2 set earphones. 
Pun nak pi beli lagi. Tamak 🫣

Towel ni Ummi tak tau pasai pa pi beli... Kain dia kesat, macam kain felt. Mujoq la 3 ringgit ja. Tapi ikut pada gambar (nak baca instructions tak reti) banyak juga kegunaannya. 

Total spent RM 33 tadi.

Psst: Celcomdigi sebelah Ninjaz ni ramai orang,  ada offer iPhone katanya untuk plan pasca bayar. Kedai emas hujung tu pulak adik Ninjaz tu kata ramai sebab emas turun harga. Sempat ye kami bergossip, sementara dia check earphones Ummi beli tu function/not 😁


Sarapan Nasi Berlauk @ Nora Seafood, Prima Sri Gombak

Ummi pernah beli nasi lemak di restoran Nora Seafood ni beberapa bulan lepas. Jadi, Jumaat semalam Ummi ajaklah Abang sarapan di restoran ni. Kami sampai di sini sekitar jam 8.35 pagi. 

Rupanya dah tak jual nasi lemak dan menu sarapan lain; nasi goreng, mee goreng dsbnya tu. Yang ada nasi putih dan pelbagai pilihan lauk yang telah siap dihidang. Deretan tray tu penuh dengan pelbagai lauk pauk. Tanya staff tu, betul sekarang takde nasi lemak semua tu. 

Okay ke Abang? 
Onz 

Customers selepas kami, bila tahu takde pilihan lain mereka keluar dari kedai. Ummi pula malas nak alih kereta, dapat parking depan kedai kira bertuah sangat la kalau area Prima ni. Tapi ni awal pagi lagi, banyak lagi parking kosong.  

Ummi pilih keli belado dan ulam timun dan daun salad. Abang ambil lauk lemak goreng dan sayur bendi. Kenyang, lunch tu memang skipped la. Malam baru makan semula. 

Pening dia lepas makan lemak tu, melekat di gusi/gigi rasa berlemak tu 😅
Gen Z yang tak pernah makan lemak goreng, begitulah... 


Kedai kosong je... Mungkin belum waktu bekerja. 

Harga nasi kami masing-masing RM10 dan air pulak RM2.50 masing-masing untuk 1 gelas limau suam dan 1 gelas limau ais. 


Langit yang biru dan awal kepul-kepul petang semalam. Masha Allah tabarakallah, cantik sangat 💙

Friday, 30 October 2026

Sambal Bilis Petai

Itu hari nampak Mak Cella masak Sambal Petai Hiris. Auto teringat sambal petai yang arwah Tok selalu masak, macam ni jugalah. Lama dah Ummi pun tak masak sambal petai style gini. 

Petainya dihiris nipis dan sambalnya banyak kuah. Biasanya bila masak begini (banyak kuah) bolehlah lauk ni disimpan untuk makan malam juga. Kira sekali masak untuk 2x makanlah.  Arwah Pakcik suka sangat sambal berkuah begini, menurun pulak ke Angah. 

Satu lagi menu sambal petai yang arwah Tok suka masak ialah sambal petai ikan bilis versi kering ala sambal belado. Untuk versi ni arwah Tok hiris nipis petai bersama kulitnya. Tok tumbuk bawang, ikan bilis dan cili hidup. Tumis, kemudian masukkan petai hingga layu. Versi sambal gini gaul dengan nasi panas memang sedap sangat. Tapi Ummi time ni pilih-pilih, cari ikan bilis je. Petainya tolak tepi :) 

Ada ke geng Ummi ? 
Kecik-kecik tak makan petai, dah besar baru makan? Atau ada makanan lain yang waktu kecil dulu tak makan, dah besar ni baru pandai makan. 

Thursday, 29 October 2026

Cucur Bawang Cicah Kuah Sate

Kuah sate ada lebih... 


Jadi, Ummi buat cucur bawang (jemput-jemput bawang) untuk dicicah dengan kuah sate tu.  Macam makan cucur udang dengan kuah kacang la, cuma Ummi tak rajin nak letak udang. 
Udang pun takde sebenarnya 😁
Ada sambal tumis juga sikit tu. Abang beli nasi goreng Cik Zana, sambal tumis minta bungkus asing. Ni sarapan kami pagi semalam. 

Untuk makan tengahari Ummi goreng je nasi sejuk, jadilah makan tengahari kami dua beranak. Bila beli tak kena selera, lebih baik masak sendiri walaupun kurang sihat.


Walid belikan bubur nasi untuk dinner. Tapi Ummi lagi selera makan nasi kenduri Geng Buku ni 👇🏻


Ada nasi beriani, sambal udang petai, ayam goreng berempah, dalca, kambing masak apa tak tau tapi sedap dan lembut sangat dagingnya dan papadom. 


Ada juga teh tarik masala dan kuih kaswi serta agar-agar santan. Abang bawa balik makan di rumah sebab di surau tempat makan limited. Biasanya Atok and the gang yang makan di situ.

Alhamdulillah demam Ummi dah kebah. Selsema pun dah hujung-hujung. Batuk pun dah kurang tapi kalau sekali batuk tu lama pulak nak habis 😅




Sarapan Telur Ayam Kampung



Beli lagi telur ayam dari Dr Omar. Kali ni beli telur ayam kampung juga. Pagi tadi Ummi rebus 4 biji untuk sarapan dengan Abang. Sedaplah telur ayam kampung, rasanya lain. 

Alhamdulillah, demam makin baik. Selsema masih ada, batuk pula makin menjadi-jadi. Di sebalik semua ni, selera makan maintain ahak 😆 

Boleh geng dengan blogger Mun :D 

Selain telur ayam kampung, kami sarapan dengan nasi goreng baki dinner (Walid masak) dan roti telur semalam. Ummi buat air teh dan minum oat juga. 

Masak asam rebus ikan pari untuk lunch. Mulut rasa payau, sedap kalau dapat makan kuah masam-masam begini. 

Petang teringin sate pulak... 
Kopi ais tu Abang punya. 
Ummi beli air kelapa. 

Bahaya betul Ummi ni kalau demam, kerja nak makan ja hahaha 😂 




Wednesday, 28 October 2026

Demam, Selsema & Batuk

Bagai dikata, esoknya (Selasa) tu bangun pagi demam dan selsema. Lepas solat Subuh, Ummi tidur semula. Syukur Adik sihat sebab malam tadi dia pun tak sedap badan. Boleh la ke sekolah, UASA sekarang ni. Dan syukur juga Abang masih cuti, boleh tolong uruskan anak-anak bulus. 

Depa dah nak bangun dah Ummi, Abang cakap Ummi demam terus depa tidoq balik 
😂😂😂

Bagus anak-anak bulus Ummi, sangat memahami hihi...

Walaupun demam selera nak makan tu ada. Teringin macam-macam pulak tu 😅 
Balik ambil Adik, singgah food court area stesen minyak SG tu. 

Adik nak mee goreng basah. 
Sedap mee goreng basah ni. Rasa masih sama macam dulu. Masa Ummi mengandungkan Kakak, selalu order mee goreng basah dekat kedai ni. Agaknya sebab tu masa kecik (umur 4-5 tahun) Kakak suka sangat makan mee goreng. Sekarang taste dia international dah :p 

Bihun goreng. 
Sebab demam, Ummi nak lah makan makanan kegemaran, tapi sayang ianya tak seperti yang diharapkan.. Ummi dok bayang bihun goreng kering-kering macam tu, tapi yang ni dimasak macam mee goreng basah juga. Bihun pun hancur. Kuciwa 😭😭😭

Nasi goreng Pattaya ni pun Ummi teringin juga. Haippp! Yang demam tu tubuh, bukan mulut :p 
Sekali lagi, mengecewakan. Ummi ingat mulut Ummi yang tak berasa (hilang deria rasa sbb selsema) tapi Abang kata memang takde rasa nasi goreng ni. 

Bukan rezeki la nak dapat makan sedap-sedap hari ni. Tapi takpelah, kenyang juga perut. Cuma satisfaction level tu je kurang. Syukur tetap kena syukur kan 😌

Cuti Sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah

Daulat Tuanku! 

Isnin semalam sekolah Adik cuti. Paginya hujan juga, ikutkan hati nak tarik selimut tapi Walid kerja. Nak tak nak kena bangun jugalah. 

Ummi masak Nasi Tumis Pandan. 
Tumis 4 sekawan, bawang merah, bawang putih, halia, serai ketuk dan daun pandan hingga layu. 

Masukkan beras, air dan garam secukupnya. 
Tutup periuk, tekan suis dan masak nasi seperti biasa. 

Nasi dah masak!
Aroma dan tekstur serta rasa lebih kurang nasi lemak juga, cuma tanpa santan. 

Hidang bersama ikan bilis, telur rebus, timun dan sambal tumis atau apa² lauk yang sesuai.
Sampai tengahari kami makan nasi ni. 

Tak keluar mana pun...
Layan Spiderman No Way Home dengan anak-anak. Dah berapa kali tengok, tetap tak jemu. 

Langit cantik belah petang. 
Lama tak tengok langit cerah begini, seronok tak terkata. 

Menjelang Maghrib Ummi dah start tak sedap badan. Rasa nak demam dan selsema. 
Lepas Isyak, telan Panadol terus lena.