Wednesday 5 September 2012

Kenangan Raya Kedua 1433H

Selepas menziarahi Mak Lang dan Kak, kami singgah sebentar di rumah Mak. Plan asal nak bermalam, tapi memandangkan bekalan air terganggu sepanjang musim raya terpaksalah kami cari back up plan. Rumah mak nampak usang sekali, maklumlah dah lama ditinggalkan.

Langit nampak gelap, bila-bila masa sahaja hujan akan turun. Jadi, kami terus bergerak ke rumah P.Lang. Kalau dulu hanya berjalan kaki, tapi sekarang jalan kecil yang menghubungkan rumah kami telah dilitupi semak samun. Maklumlah, P.Lang sudah uzur, tak sempat nak menebas. Mak pula sudah tinggal secara bergilir dengan kami adik beradik.

Isteri P.Lang saya panggil  M.Teh - kedua-duanya sepupu Pak. Merekalah guru mengaji saya, mengajar saya Alif Ba Ta hingga saya berjaya khatam Quran. Selepas Maghrib saya berlari ke rumah P.Lang untuk mengaji, lepas Isyak sekali lagi berlari balik ke rumah. Rumahnya dekat saja, tapi memandangkan halaman rumah P.Lang dan rumah saya tidak setentang, makanya saya terpaksa melalui bahagian belakang rumah P.Lang dan melintasi sedikit hutan untuk sampai ke rumah. Gelap masa tu, bawa torch light je. Masa tu mana ada orang pasang lampu spot light depan rumah kan...sekali tu punyalah berlari, sampai je kat tangga rumah tersembam cium tanah.. kebetulan Pak ada tetamu pulak masa tu... hahaahah..ketika kisah hantu susu tengah hot, terpaksalah Pak datang menjemput sebab memang takut giler masa tu.. itu kenangan zaman kanak-kanak yang tak mungkin dilupakan...

Keuzuran M. Teh dan P.Lang makin ketara, maklumlah kudrat mereka semakin dimamah usia. Kami dipelawa minum, mulanya saya dan suami menolak. Kami tidak mahu menyusahkan keduanya. M.Teh sekarang lumpuh tangan kanannya akibat strok. Kami berborak-borak. Sekali lagi P.Lang mempelawa minum. Dek kerana kasihan, saya tolak dengan baik. Namun bila P.Lang sebut "ish, P.Lang tak sedap hati ni, anak penakan mai rumah tak makan minum" saya tidak mampu menolak lagi. Pasti mereka akan berkecil hati. Lalu saya beredar ke dapur menjerang air. P.Lang bisikkan pada saya "baru P.Lang lega, kalau tak P.Lang rasa tak seronok, tak jamu apa2 kat Na..." Dia saya lihat terbongkok-bongkok memasukkan kuih muih ke dalam pinggan. Sungguh terharu... baik sekali layanan P.Lang pada kami.

Saya juga menunjukkan kepada Abang dan Opal, ruang saya mengaji. W/pun mungkin mereka belum faham esp. Opal tapi harapan saya mereka menghargai dan menghormati  orang-orang yang pernah berbakti pada saya. Kami bergerak dari rumah P.Lang setelah lebih sejam di sana.

Sungguh saya amat menghargai pertemuan ini dan berharap agar pertemuan ini bukan kali yang terakhir...

No comments:

Post a Comment