Sunday, 31 October 2021

Resepi ~ Roti Kerca

Dengar-dengarnya roti kerca ni hidangan istana kesukaan kerabat-kerabat diraja Kedah. Ummi tahu tentang resepi ni melalui perkongsian YM Tengku Datin Sri Zawyah. Dan baru-baru ni Ummi jumpa pula perkongsian resepi ni oleh  Dato' Sri Siti Nurhaliza di Mingguan Wanita. 

Bahan dan cara menyediakannya lebih kurang penyediaan lempeng. Bezanya kuali dioles dengan minyak sapi dan roti yang seakan lempeng itu bila dah masak, digulung dan dipotong serong. Kemudian, kuah yang dihasilkan dari daging cincang dituang ke atas roti tadi. 

Resepi: Roti Kerca
Sumber: Tokti via Mingguan Wanita

Bahan-bahan (roti)
1/2 kilo tepung gandum - Ummi guna 3 cawan 
3 biji telur - Ummi guna 1 biji
Air - Ummi guna 3-4 cawan air
Garam - Ummi guna 1 s/t garam

Cara-cara: 
1. Gaul sebati semua bahan dan masukkan ke dalam pengisar. Kisar halus.
2. Oles kuali non stick dengan minyak sapi dan panaskan kuali.
3. Senduk adunan dan masukkan ke dalam kuali tadi. 
4. Bila masak, angkat, gulung dan potong serong.

Bahan-bahan (kuah)
Bahan tumis: 
Minyak - untuk menumis
Kulit kayu manis
Bunga lawang
Daun kari

Bahan kisar:
10 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
4 inci halia
#semua bahan di atas dikisar

Bahan-bahan lain:
Daging cincang - Ummi guna daging burger 
Serbuk kari daging
Santan - Ummi guna 1 kotak santan 200ml
Air
Kiub ayam
Tomato puree (optional)

Cara-cara
1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumis hingga naik bau
2. Masukkan bahan kisar dan tumis lagi hingga pecah minyak
3. Bancuh serbuk kari dengan sedikit air dan tumis ke dalam kuali. Tumis hingga pecah minyak dan agak kering
4. Masukkan daging cincang dan gaul sebati
5. Masukkan kiub ayam
6. Masukkan santan, gaul sebati
7.  Masukkan tomato puree dan garam
8. Reneh hingga mendidih. Tutup api. Siap!

Hidangkan bersama taburan daun bawang dan bawang goreng.

Tapi, stok daun bawang takde hari tu :p 

Selamat mencuba 🤗

Friday, 29 October 2021

Happy 8th Birthday Kakak 💖

Allah selamatkan kamu
Allah selamatkan kamu
Allah selamatkan Kakak

Ummi buat makan-makan sikit sempena birthday dia. Masak bihun goreng, fries, wedges and cakes. Jemputan pun hanya Mel, Adim dan adik masing-masing. Pastu geng main dia, Maryam dan adik2 serta bibik mereka yang kebetulan lalu depan rumah, Ummi ajaklah sekali. Tetamu dewasa Cik Aida & suami. 

Adik buat kad untuk Kakak. 

Goodies untuk kawan-kawan.

Hadiah dari kawan-kawan... 
Egg tarts from Cik Aida.

Untuk Mel, adiknya dan Aisyah. Depa tak sempat balik sebab traffic jam teruk katanya. Aisyah dan adiknya pula Ummi tak jemput sebab Adik selsema, takut berjangkit pula dekat depa. 

Lepas Kakak balik hantar food kat Mel, dia pula datang hantar nasi kukus. Rupanya depa buat tahlil hari ke-44 untuk atoknya. Alhamdulillah. 

Untuk Kakak; 
Ummi Walid abang-abang dan Adik doakan Kakak sentiasa dalam rahmat-Nya, sihat selalu dan sentiasa menjadi penyejuk mata keluarga. Sayang Kakak ketat-ketat 🤗


Wednesday, 27 October 2021

Dine In Tak Sengaja di Kayu Nasi Kandar, KL Sentral

Malam tu kami menapak dari Aloft ke Nu Sentral yang terletak bersebelahan je. 

First time Ummi dan anak4 jejak kaki ke Nu Sentral. Cantik deko di ruang legar premis ni, penuh dengan bunga.

Gegirls sukalah bunga. Walid & the boys laju je kat depan haha ... 

Tujuan utama nak dinner di food court Nu Sentral. Banyak pilihan di situ kata Walid. Malangnya, sekitar jam 8 tu kebanyakan kedai dah tutup atau bersedia untuk tutup.

"Takpe, kita pi mamak kat luar", kata En Boss. 

Time ni anak4 pun dah merengek lapar. Ialah, sejenis yang lepas Maghrib terus makan. Lambat sikit, berkicaulah semua 😂 

Sampai di kedai mamak tu, alhamdulillah ada space agak jauh dari pelanggan lain. Kat corner sekali. 

Kali pertama ni kami dine in after few months, cuak juga Ummi. Nak tapau anak4 dah kelaparan. Tak larat nak jalan balik ke hotel kononnya. Taktik depa nak scam Walid :D 

Lebih cuak, bila Ummi terpandang logo kedai... 

Dalam hati, ini bukan sebarang kedai mamak, ini mamak kayangan. 

Kan dah kata 😬

Kalau makan di kedai mamak area SG, boleh 2x makan agaknya ni... Tapi ialah dengan lokasinya, namanya yang gah termasuk service tax lagi, bayar je lah Walid :D 

Tapi, portion makanan besar. Berbaloi dengan harganya. Memang kenyang atau lebih tepat terlebih kenyang! 

Apapun, rezeki anak4 setelah sekian lama tak makan di luar. Kenyang sangat. Yang tak habis tu tapau. Sambung makan di bilik. 

Monday, 25 October 2021

Staycation @ Aloft, KL Sentral

Sejurus sebelum kami angkat luggage, bekalan air mula pulih. Tapi, memandangkan dah check in (Walid singgah ambil key during lunchtime tadi), hajat 'lari dari ketiadaan air' diteruskan. Bayaran pun dah dibuat jadi kita proceed.

Kami pilih Aloft kerana dekat dengan KL Sentral, easy to commute sebab Jumaat Walid kerja. 

Here is our room; Attic King Room...

Katil besar, bilik besar memang puashati. Harga semalam RM180. 

Kat ruang antara katil dan sofa ni boleh main, solat jemaah,  makan berjemaah dan tidur berjemaah juga :D Bangun pagi esok tu nampak 'hantu bungkus' seketul 😂

Adik ponteng sekolah Jumaat tu. 
Melukis dan mewarnalah kerjanya .. 

Ini pula bilik air dan wardrobe... 

Ada bath robe, iron, iron board, safety box semua complete, sesuai dengan 4-star rating for this hotel. 

Separated shower and toilet.

Abang ada online class malam tu ... Selesa sungguh dah goyang kerusi tu. 

Bilik kami di 20th Floor, jadi boleh nampak view yang cantik.

Yang melengkong-lengkong tu KL Sentral. 

Depan tu adalah Hilton, Le Meridien, Q Sentral and St Regis. 

Selain bilik yang selesa dan view yang  cantik, pool juga sangat-sangat awesome. 

 Pool dibuka seperti biasa, dari 7am-7pm. Buka seperti biasa means no need to pre-book our time slot.  As long as you are the hotel guests, you are welcome to enjoy this facility. Of course we need to adhere to the new norm and SOP. 

Kids pool. 

Changing room dan toilet super clean 👍
Hujung sebelah sana pula ada bar. 

Memang menarik dan berbaloi stay di sini. 

Aloft KL Sentral
No 5 Jalan Stesen Sentral
KL Sentral
50470 Kuala Lumpur
Tel No: 03 2723 1188 




Sunday, 24 October 2021

Redeem Tupperware dengan Sticker Sayap Bagimu Aeon

Semalam Ummi ke Aeon Wangsa Maju lagi, nak cari sneakers. Berbeza dengan bulan lepas, yang mana pelanggan diberi hanya 30 minit untuk ber-shopping, sekarang dah tiada sekatan masa. Ketiga-tiga pintu pun dah dibuka. Mungkin sebab dah berada di Fasa 4 PPN. Tapi, bab SOP norma baharu sama. 

Bulan lepas Ummi mula collect stickers ni. Memang berniat nak kumpul dan tebus kali ni sebab produk Tupperware kan. Last time kumpul separuh jalan sebab tak minat sangat dengan hadiah yang ditawarkan. 


Sebagai Aeon Member, Ummi kena collect 15 stickers je. Non member 20 stickers baru boleh redeem hadiah. Minimum spending RM30 untuk dapat sticker.

Inilah hadiahnya... 
Semalam, lepas shopping tu dapat 16 keping stickers. Terus Ummi tampal pada kad yang disediakan dan apalagi terus ke kaunter Customer Service. Cara redeem; 
1. Present our Aeon member card 
2. Serahkan kad sticker
3. Pilih hadiah
3. Bayar harga sepatutnya 
4. Dapat hadiah yeay! 

Ummi pilihan mangkuk tingkat ni. 
Harga: 15 stickers + RM 35.90

Hari tu tengok rakan blogger, Kakmim beli Tupperware comel. Tak sangka semalam rezeki Ummi pula. Alhamdulillah, self reward juga ni walaupun bukan Ummi yang guna. Big boss ni hah 😜

Bergaya member bawa bekal gi ofis hari ni :D 

Tapi ingat, pantang larang guna Tupperware ni esp Tupperware puan isteri. Kalau tertinggal kat ofis tu, cepat-cepat patah balik ambil semula. Jangan nak buat pasal tak bawak balik 😂😂😂

Lepas ni nak redeem lunch box atau freezer mates pulak... 

Kempen ni sampai Feb 2022, lambat lagi. Sempatlah kalau kawan-kawan nak join. Ummi pulak sempat lagi ni nak redeem 2-3 barang lagi :p 



Al Fatihah ~ Sutradara Mamat Khalid

Terkejut mendapat perkhabaran pengarah tersohor Mamat Khalid pergi menghadap Ilahi awal pagi tadi. Jenazah arwah telah selamat dikebumikan di Ipoh selepas Zohor tadi. 

Credit BH Online

Ummi antara khalayak yang 'melayan' karya arwah. Telemovie Rombongan Cik Kiah ke Sukan Komanwel dan filem Zombie Kampung Pisang antara kegemaran Ummi. Manakala watak Husin lakonan Dato' Awie sentiasa menambat hati. Di tangan arwah Abang Mamat, sisi komedi Awie berjaya dicungkil dan digilap. Selain kritik sosial, karya arwah sentiasa mendapat tempat kerana watak-watak sampingan yang dilakonkan oleh pelakon-pelakon biasa tapi hasilnya luarbiasa. Arwah juga banyak memberi ruang kepada pelakon senior untuk terus mencari rezeki dalam bidang seni. Pastinya kehilangan arwah sangat dirasai oleh mereka. 

Al Fatihah untuk Almarhum Mohamad Mohamad Khalid (Mamat Khalid).




Saturday, 23 October 2021

Resepi ~ Kuih Lopes versi Rice Cooker (Maksu)

Maaflah, dah malam baru share resepinya :) Takpe, besok petang boleh lagi jika hendak menjadikannya juadah minum petang di hari minggu. 

Ummi namakan Kuih Lopes versi Rice Cooker (Maksu) sebab resepinya dikongsi oleh Maksu, dari YouTube Channel seseorang. Rupanya sebelum ni Ummi pernah kongsi resepi kuih ni versi rice cooker jugayang Ummi dapat dari majalah Rasa. Bahan-bahan sama cuma cara penghasilan agak berbeza. 

Boleh klik sini: 

Selain tu, Ummi juga pernah buat kuih lopes bersama arwah Tok. Klik sini untuk mengimbau kenangan buat kuih lopes bersama arwah Tok

Resepi: Kuih Lopes versi Rice Cooker (Maksu)
Sumber: MaiCooking 

Bahan-bahan
2 cawan pulut - rendam selama 30 minit
2 cawan air
1/2 cawan santan cair
1/2 sudu teh garam
1/2 sudu teh pewarna hijau
1/2 sudu teh perisa pandan - jika ada daun pandan, kisar bersama 2 cawan air 👆
Kelapa parut - kukus sebentar

Cara-cara
1. Bilas dan toskan pulut yang telah direndam tadi
2. Masukkan ke dalam inner rice cooker 
3. Masukkan air, santan, garam, pewarna hijau dan perisa pandan. Gaul sebati semuanya. 
4. Tutup periuk dan tekan butang on. Masak seperti nasi biasa. 
5. Bila dah masak, biarkan sekitar 5 minit (keep warm) sebelum ditutup suisnya 
6. Ambil 2 biji cawan/bekas plastic dan basahkan di bahagian luar dan dalam, untuk mengelakkan pulut melekat. 

7. Ambil +-2 sudu makan pulut, masukkan ke dalam salah satu cawan. Ambil satu lagi cawan dan tekan pulut hingga padat . 

Credit: MaiCooking

Maksu guna acuan kuih lompang. 

8. Ambil sudu@pisau plastik dan sisip keliling cawan tadi untuk mengeluarkan pulut
9. Ambil pulut dan golek diatas kelapa parut. Buat sehingga habis 
10. Hidangkan bersama air gula. 

Bahan air gula 
(boleh disediakan sementara tunggu pulut masak) 
1 cawan gula merah 
1 cawan air
1/2 sudu teh garam

Masukkan semua bahan di atas ke dalam periuk. Buka api perlahan dan masak hingga gula larut dan kuahnya sedikit likat.

Dengan 2 cawan pulut ni Ummi dapat 15-16 biji kuih lopes. Boleh gandakan kuantiti bahan untuk hasil berganda. Manalah tahu ada yang nak buat untuk jamuan ke, jualan ke... 

Alhamdulillah, sedap kejadiannya... 
Terima kasih banyak kepada empunya resepi 🌹 Moga ilmu yang dikongsi berpanjangan pahalanya aamin. 

Selamat mencuba! 




Friday, 22 October 2021

Ikan Haruan vs Ikan Belanak

Ikan haruan ni dibeli oleh Maksu, dari kawannya. Suami kawannya memancing di sawah. Memang fresh-lah. 

Besar betul ikannya. 


Sedap digulai (masak kari) ikan haruan ni. Mula-mula kahwin dulu Tok Umi suruh Ummi buatkan kari ikan haruan untuk arwah Wan Lah (abang Tok Ayah). Macam-macam alasan; tak reti siang, tak makan ikan haruanlah dsbnya Ummi bagitau  Tok Umi sebab masa tu belum pandai buat kari 😅 Kesian Wan Lah makan kari Ummi yang tak sedap tu :D 

Sedap nampaknya gulai Maksu ni.

Ummi pun takmau kalah, balas dengan ikan belanak masak asam pedas Kedah style  haha... 

Telur dia penuh perut ... Sedap! 

Asam pedas Kedah style ni tak payah tumis; hauk semua masuk dalam periuk. Caranya: kisar bawang merah + cili kering + bawang putih + belacan bersama air. 

Kemudian satukan bahan kisar, air secukupnya, asam keping dan serai. Renehkan hingga mendidih. Masukkan ikan dan daun kesum. Gaul sebati dan kacau sekali sekala. Perisakan. Bila ikan masak, tutup api. Kalau nak letak timun atau bendi pun boleh. Ummi letak peria katak, itu je sayur yang ada. Peria petik belakang rumah je. Kita buat dia, letak je apa yang hendak diletak :)

Untuk sayur, Ummi masak pucuk paku goreng belacan. Mula-mula tu buat sambal belacan macam biasa, cuma tak payah letak asam jawa/jus limau. Tumis bawang merah + bawang putih hingga garing, masukkan pucuk paku. Bila pucuk paku layu, tuang sambal belacan tadi secukupnya. Gaul sebati, perisakan dan tutup api. Ini cara Ummilah, belajar dari Tok Umi. 

Tq Cik Leha bagi pucuk paku ni 💝
Kita baru masak sayur, Maksu dah prepare untuk minum petang pulak. Marathon kata Maklong 😂

Apa yang dimasak tu? Nanti Ummi share sebab Ummi pun dah berjangkit, buat juga kuih ni :D