Friday, 19 February 2021

Resepi ~ Set Nasi Beriani, Dalca & Acar Timun

Ummi nak share resepi nasi beriani 1 Rejab hari tu. Semalam Mama Aisyah cakap sekali lagi, sedaplah kak nasi beriani tu... Naik segan juga Ummi sebab Ummi ni masak style campak-campak je. Sukatan bahan lebih kepada reference saja. Sebab tu kadang sedap, kadang biasa je. Apapun resepi tetap Ummi simpan dan rujuk. Dan satu lagi, nak memasak ni perlukan keikhlasan especially kalau nak berbagi rezeki. Masa memasak tu banyakkan berselawat dan berdoa agar makanan kita jadi sedap dan asbab untuk mengeratkan silaturrahim. انشاء الله sedap jadinya nanti. 

Ummi rujuk pada resepi Nasi Beriani Udang yang Ummi pernah masak sebelum ni. Tapi, bahan-bahan Ummi olah ikut kesesuaian sebab kali ni masak nasi beriani biasa je. 

Resepi: Nasi Beriani

Bahan-bahan
5 cawan beras basmathi [basuh dan toskan]
5 cawan air - Ummi sukat ikut ruas jari
1 cawan susu cair
3 s/b minyak
3 s/b minyak sapi 
2 s/b rempah beriani [bancuh dengan sedikit air menjadi paste]
1 kiub pati ayam 
Garam

Bahan Tumis
5 ulas bawang merah*
3 ulas bawang putih*
2 cm halia*
(bahan bertanda * dihiris)
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga

Bahan-bahan lain/Bahan Hiasan 
1/2 cawan kismis
Daun ketumbar 
Bawang goreng 

Cara-cara
1. Panaskan minyak dan minyak sapi. Tumiskan bahan tumis sehingga wangi.
2. Masukkan paste rempah briyani. Masak dengan api perlahan sehingga terbit minyak.
3. Masukkan beras dan goreng rata.
4. Masukkan air, susu cair, kiub ayam dan garam. Masakkan saperti nasi biasa.
5. Bila nasi dah kering, taburkan hirisan daun ketumbar dan kismis
6. Kacau rata (gembur) nasi sehingga semua bahan taburan tadi bersatu dengan nasi
7. Tabur bawang goreng semasa menghidang dan bolehlah dimakan bersama dalca dan acar timun. 

Noxxa Style:
1. On stir-fry mode.
2. Ikut langkah 1- 4.
3. Off stir-fry mode. Tutup periuk Noxxa.
4. Set HP mode 8 minutes.
5. Once beep, release wap dulu. Buka periuk dan masukkan bahan-bahan hiasan dan sambung langkah 6 & 7.

Sebelum ni, Ummi masak nasi HP 7x tapi sekarang ni 8x. Suka sebab nasi jadi kering elok.  

Untuk dalca, Ummi cedok ilmu dari dapur Kak Azie. Rupanya dalca tanpa santan lebih enak dan lebih cantik rupanya. Lebih istimewa, hirisan bawang merah dam daun kari ditumis berasingan (tumis darat) dan kemudian barulah dimasukkan ke dalam dalca. Agak renyah tapi hasilnya umpph 😋

Resepi: Dalca Tanpa Santan 
Sumber: Azie Kitchen

Bahan bahan
1 kg tulang lembu - Ummi ganti dgn kaki,, hati & pedal ayam
5 sudu besar serbuk kari daging - 60 gram 
1 cawan kacang dal - direbus bersama kaki & pedal ayam 
2 kuntum bunga lawang
1 inci kayu manis
2 kuntum bunga cengkih
2 liter air 
1- 1 ½ sudu besar garam
1 kiub ayam 
1- 1 ½ sudu kecil pes asam jawa
¾ cawan minyak masak 

Bahan kisar
10 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
2 inci halia

Bahan Sayuran
2 biji ubi kentang - belah empat
1 batang lobak merah - potong
2 biji terung panjang - potong
1 biji tomato belah empat
3 batang cili hijau - potong 2 (tak letak) 
1 mangkuk kacang panjang 

Bahan Tumis (Darat)
2 sudu minyak masak
8 biji bawang merah - hiris
2 tangkai daun kari

Cara-cara 
1. Rebus kaki dan pedal ayam bersama kacang dal. Dengan Noxxa, tekan HP 7x. Bila beep, off button. Keluarkan kaki dan pedal ayam. Sambung semula HP 15 minit lagi untuk kacang dal. 
2. Panaskan minyak dan tumis rempah 4 sekawan dengan bahan kisar sehingga naik bau. Masukkan rempah kari daging dan kacau rata lagi sehingga garing. Masukkan air dan biarkan sehingga terbit minyak.
3. Masukkan kaki ayam, hati dan pedal. Gaul sebati. 
4. Campurkan kacang dal beserta air rebusannya ke dalam kuah dalca. (Kak Azie campurkan bahan tumisan ke dalam kuah rebusan daging & kacang dal). 
#Boleh masukkan santan jika suka. 
5. Masukkan kiub ayam. 
 6. Masukkan sayuran dari yang keras sehingga yang mudah lembut dan masak sehingga lembut. 
6.Masukkan tomato, pes asam jawa dan garam. Renihkan seketika.
7. Di dalam kuali lain, panaskan minyak dan tumis bawang hiris dan daun kari sehingga keperangan. Tuang ke dalam periuk sekali dengan minyak. Jangan dikacau. Tutup periuk dan biarkan selama beberapa minit sebelum dikacau. 
7. Perisakan dengan garam. Tutup api. Siap! 

Acar Timun air tangan Tok sentiasa jadi kegemaran Ummi. Ringkas dengan campuran timun, bawang besar, cili padi dan cili merah serta garam, gula dan cuka. 

Resepi: Acar Timun Tok
Sumber: Puan Hazel 

Bahan-bahan 
Timun - kopek dan lorekkan dengan garfu 
Bawang besar - potong bulat atau separa bulat nipis-nipis
Cili padi/cili merah - potong halus

Bahan kuah 
3 sudu besar gula
1 sudu kecil garam
2 sudu besar cuka - boleh diganti dengan jus limau atau asam keping (rendam dahulu untuk dapatkan airnya) 

Cara-cara 
1. Satukan ketiga-tiga bahan dan bancuh dengan sedikit air panas. Kacau hingga gula hancur. Sesuaikan rasa. Acar timun kegemaran Ummi ialah yang rasa manisnya lebih dominan. 
2. Campurkan bahan kuah ke dalam hirisan timun, bawang dan cili tadi. Siap! 

Selamat mencuba 🤗




5 comments:

  1. Elok berbagi rezeki dan kongsi ilmu memasak :)

    ReplyDelete
  2. Betul nampak macam nasi kat umah pengantin

    ReplyDelete
  3. Makan nasi beraroma memang sedap!
    Dalca berganding dengan acar memang mantap!

    ReplyDelete
  4. We Offers Financial Consulting To Client, Companies Seeking Debt / Loan Financing And Seeking For Working Capital To Start A New Business Or To Expand Existing Business. Interested Parties Should Contact Us For More Information Through Via E-mail: financialserviceoffer876@gmail.com

    Whats-app us on +918929509036

    ReplyDelete