Thursday, 17 December 2020

Pengalaman Peribadi Memandikan & Mengkafankan Jenazah

Selain dapat menjaga dan menemani arwah Tok dari sihat hingga ke saat akhir, Allah rezekikan juga buat Ummi berkhidmat buat kali terakhir untuk Tok yakni memandikan dan mengkafankan jenazah Tok. Pengalaman pertama yang sangat istimewa dan berharga Ummi abadikan di sini. Moga sedikit sebanyak memberi manfaat kepada semua. 
 
" Berapa orang nak mandikan jenazah?" tanya petugas team pengurusan jenazah Masjid Al Khairiyah (Puan A) sambil memandang Ummi dan Makngah. Bersamanya ada seorang lagi petugas (Puan B) yang sedang sibuk menggunting kain kafan.

Tak sedap hati dengan pertanyaan tersebut, Ummi minta Walid panggilkan anak-anak perempuan Makngah (4 orang) dan Makcik. Alhamdulillah kami semua berpeluang untuk memberi khidmat terakhir untuk Tok. Jika di tempat kami, ahli keluarga hanya bertindak sebagai pembantu kepada team pengurusan jenazah. Tapi, di sini kami diberi tunjuk ajar dan diminta memandikan sendiri jenazah Tok dari awal hingga akhir. Puan A memberi tunjuk ajar, arahan sambil membantu menyempurnakan urusan mandi jenazah manakala Puan B pula terlibat sewaktu urusan mengkafankan jenazah. Oleh itu, pengalaman ini sangat berharga dan penuh makna; menyentuh dan membelai tubuh arwah buat kali terakhir sebelum berpisah buat selamanya, disamping kita sendiri mendapat ilmu baru tentang tatacara pengurusan jenazah secara langsung. 

Tatacara memandikan jenazah 
1. Dengan menutup badan jenazah dengan sehelai kain batik panjang (kain batik panjang yang sama sewaktu jenazah dibawa dari rumah. Kain batik panjang ini berfungsi sebagai kain basahan waktu dimandikan nanti); tanggalkan semua pakaian pada jenazah seperti kain, baju, ikatan pada tangan, kaki dan muka. Pakaian yang ditanggalkan di masuk ke dalam plastik hitam (disediakan oleh pihak masjid)
2. Membaca niat - " Sahaja aku mandikan jenazah ibuku/nenekku fardhu kifayah kerana Allah Taala (lebih kurang). Semua yang terlibat perlu berniat. 
3. Jirus air dari kepala hingga ke kaki bermula sebelah kanan. Kemudian gosok, sabun, bilas seluruh badan jenazah dari hujung rambut hingga hujung kaki. Cara membersihkan bahagian belakang jenazah ialah dengan mengiringkan jenazah. Kami ada 6 orang jadi 3 orang berada di sebelah kanan dan  3 orang di sebelah kiri jenazah Tok. Bila team sebelah kanan membersihkan bahagian belakang jenazah, 3 orang di sebelah kiri memaut badan jenazah supaya mengiring. Begitu juga sewaktu mengelap jenazah usai dimandikan. Membersihkan jenazah termasuk membersihkan celahan jari/kuku, telinga, hidung, bibir, pelipat, qubul dan dubur seumpama mandi wajib.
4. Mengambil wudhuk untuk jenazah.
5. Menjirus air cendana, air kelapa barus dan air mawar (kalau tak silap) ke atas seluruh badan jenazah, dari hujung kepala hingga hujung kaki, dimulakan dengan bahagian tengah sambil menyebut يا الله , bahagian kanan beserta kalimah يا رحمن dan bahagian kiri dengan menyebut kalimah يا رحيم
6. Mengelap badan jenazah dengan tuala bersih. Waktu ni kain batik lepas tadi (kain penutup/kain basahan) digantikan dengan sehelai lagi kain batik panjang yang kering untuk menutup badan jenazah. Seperti juga waktu memandikan dan membersihkan jenazah tadi, dua kumpulan tadi bergilir-gilir mengelap badan jenazah, dalam posisi mengiring juga untuk bahagian belakang jenazah. Jadi, 2 helai tuala diperlukan. Sehelai kain batik biasa juga diletakkan di bawah badan arwah untuk mengelakkan jenazah basah semula bila dialihkan ke kiri atau kanan. "Kena betul-betul kering" kata Puan A. 

Perlu diingat bahawa setiap pergerakan ini hendaklah dilakukan dengan lemah lembut agar tidak menyakiti jenazah. Apatah lagi yang dimandikan itu adalah ibu kita, syurga kita. Sebagai mana arwah disantuni sewaktu hidup, begitulah selayaknya beliau disantuni apabila telah tiada. Itu tanda sayang dan hormat kita pada ibu. 
7. Jenazah diangkat ke atas katil beralaskan kain kafan untuk dikafankan. Kali ini peranan kami lebih kepada pembantu kepada Pn B. Namun, tetap kami berpeluang memberi khidmat terakhir untuk arwah. Bermula sehelai demi sehelai kain putih dibalut, sedarlah kami masa untuk berpisah selamanya makin hampir. Sebak diiringi air mata mula menerpa bila yang ternampak hanya wajah tenang arwah diliputi kain putih seluruh badan. Arwah nampak sangat tenang seolah sedang nyenyak tidur. 
8. Sehelai lagi kain batik panjang diletakkan di atas tubuh jenazah sebagai penutup badan. 
9. Ahli keluarga lelaki beserta hadirin yang menunggu di luar bilik jenazah dijemput menatap/mencium wajah arwah buat kali sebelum kain kafan diikat. 
10. Jenazah diusung ke dalam keranda sebelum disembahyangkan. 

Alhamdulillah segalanya dipermudahkan oleh Allah SWT. Mudah, cepat dan lancar semuanya. 

Keperluan Memandikan Jenazah 
Ummi hanya diminta menyediakan 2 helai kain batik panjang/batik lepas dan 2 helai tuala untuk urusan ini. Keperluan dan perkakas lain semuanya disediakan oleh pihak masjid. Walaubagaimanapun Ummi bawa juga 2-3 helai kain batik biasa sekiranya diperlukan. 

Kain batik panjang penutup badan arwah sewaktu di perbaringan. Digunakan juga sebagai kain basahan sewaktu jenazah dimandikan. 

Kain batik panjang penutup badan arwah sewaktu dilapkan. 

Kain batik panjang penutup tubuh jenazah usai dikafankan. 


Dua helai tuala. 


Ummi minta maaf jika ada terlebih/terkurang dari perkongsian ini. Yang baik itu dari Allah, yang buruk itu dari kelemahan Ummi. Niatnya cuma berkongsi pengalaman. Mungkin sedikit sebanyak pembaca dapat gambaran (dan manfaat) tentang urusan fardhu kifayah ini. Suka atau tidak, mati itu pasti. Setiap dari kita akan melalui saat itu, samada kita yang pergi dulu atau orang-orang yang kita sayang pergi dulu.  Menjadi tanggungjawab kita yang hidup untuk menyempurnakan segala urusan akhir jenazah. 

والله اعلم


5 comments:

  1. Perkongsian yg bermanafaat. Walaupun selalu jugak menghadiri kursus pengurusan jenazah tapi bila berhadapan dgn yg sebenar baru tahu bgimana perasaannya

    ReplyDelete
  2. Entah tak tau kenapa saya baca ni rasa nak berlinang air mata dan perlu bagi peringatan kepada diri sendiri untuk sifat bersabar.
    Terima kasih kongsi pengalaman.

    ReplyDelete
  3. tiba-tiba rasa sebak pulak baca entry ni...ntahlah kenapa

    ReplyDelete
  4. Mrs. A pun pertama kali pengalaman mandikan arwah ibu mertua baru-baru nih!

    ReplyDelete
  5. Izin promo ya Admin^^
    bosan tidak ada yang mau di kerjakan, mau di rumah saja suntuk,
    mau keluar tidak tahu mesti kemana, dari pada bingung
    mari bergabung dengan kami di ionqq^^com, permainan yang menarik
    ayo ditunggu apa lagi.. segera bergabung ya dengan kami...
    add Whatshapp : +85515373217 ^_~ :))

    ReplyDelete