Friday, 20 November 2020

Diari Tok ~ Tok pergi jua 😭😭😭 (M3)

Hospital Selayang, 9/11/2020 (Selasa) 

Hari ni hari ketiga Tok berada di 'rumah baru'. Masih bersedih dengan pemergian mengejut Abah Kaklong, Tok pula menyusul selang sehari. Tok dijemput pulang sejurus sebelum azan Maghrib berkumandang pada 2 Rabiul Akhir 1442H bersamaan 17 November 2020 (Selasa). Sehabis helaan nafas Tok yang terakhir, kedengaran azan Maghrib. Hujan pula turun mencurah-curah mengiringi kepulangan seorang hamba kepada Pencipta-Nya. 


Sekitar jam 10 pagi Tok minta Abang & Angah bacakan Yasin untuk Tok. Kemudian Tok minta panggilkan Ustazah, jiran kami. Katanya nak bermaaf-maafan dengan Ustazah. Bila Ustazah datang, Tok minta Ustazah tolong bacakan Yasin juga. Masa ni Tok nampak gelisah, sekejap pusing ke kiri, sekejap ke kanan serba tak kena. Adu Tok pada Ustazah "Makcik rasa lenguh seluruh badan... Rasa nak tercabut segala sendi..." 😭😭😭 Ustazah minta Ummi ambilkan air zamzam dan sapu pada badan, dada, muka dan kepala Tok. Sambil-sambil tu kami terus baca Yasin sambil urut dan usap Tok. Ummi juga buatkan susu dikisar bersama kurma untuk Tok minum memandangkan Tok masih belum makan/minum. Tak berselera katanya. 

Begitulah keadaan Tok sepanjang hari. Sekejap tidur sekejap jaga. Minta diurut dan dipicit badannya. Sekejap-sekejap Tok tanya mana Walid... Kebetulan hari tu giliran Walid masuk office. Tok juga minta Ummi telefon Abang Anas, cucu kesayangan Tok yang dibela sejak berusia 6 bulan. "Habis kerja Anas pi" katanya. 

Lepas Asar, Tok minta Ummi jangan tinggalkan dia. Ummi setia disamping Tok sambil tangannya sesekali memaut erat tangan, peha, badan Ummi... Sesekali buka mata ditenungnya Ummi 😭😭😭

Usai solat Asar petang tu, mencurah-curah air mata Ummi tumpah di tikar sejadah. Ummi merayu agar Allah permudahkan segala urusan Tok. Kalau kesembuhan lebih baik, mohon Allah sembuhkan. Jika sebaliknya, Ummi mohon Allah mudahkan. Seharian menemani Tok, jujurnya mula timbul bibit letih dalam diri Ummi. Ummi mohon Allah lindungi Ummi jangan sampai Ummi menyinggung atau menyakiti Tok dek keletihan dan kegusaran. Siapa tidak susah hati, tengok keadaan Tok sebegitu. Walaubagaimanapun Ummi redha jika Allah 'ambil' Tok, andai itu yang lebih baik. Seandainya keadaan Tok tidak berubah, Ummi dah plan nak bawa ke hospital. Biar Tok dirawat dengan sempurna sebab Ummi cuma mampu urut dan picit Tok saja. 

Sambil-sambil temankan Tok, Ummi ambil Yasin. Di hujung-hujung bacaan Ummi nampak Tok makin senyap. Selalunya kalau lega gelisahnya, Tok akan tidur secara mengiring. Lebih selesa begitu untuk Tok bernafas. Ummi ajar Tok mengucap, berselang-seli dengan habiskan bacaan Yasin, sambil minta ampun dengan Tok... Sempat juga Ummi sapukan air zamzam pada betis Tok. Makin lama Tok makin lesu... Tok tercungap-cungap tapi dalam keadaan yang tenang... Dalam masa yang sama, Walid sampai. Ummi panggil, Ummi goncang badan Tok takde reaksi. Ummi minta Abang panggilkan Ustazah, Walid pula kelam kabut telefon ambulan. Azan Maghrib berkumandang, hujan mula turun, Abang Anas sampai... Semuanya hampir serentak. Akhirnya, Tok disahkan meninggal pada jam 7.38 malam oleh pasukan perubatan Hospital Selayang. Alhamdulillah Tok pergi dalam keadaan yang mudah. Tercapai hajat Tok untuk meninggal di rumah. 

Gambar terakhir Tok bersama cucu-cucu kesayangannya. Sempat Tok usap seorang demi seorang  tangan anak-anak Ummi sebelum pergi. 

Rumah baru Tok. Cantik kawasannya... Indah, tenang dan lapang. Moga di dalamnya (kubur) juga tenang, lapang dan damai buat Tok. 


Berehatlah Mak... Berbahagialah di sana bersama Abang Cik. Tok pun dah rindu sangat dengan Pakcik... Berselang sekitar 10 bulan, kini dua insan paling Ummi sayang dijemput pulang. Peritnya hati hanya Dia yang tahu. Namun, Dia juga Maha Tahu apa yang terbaik untuk kita. Pasti ada hikmah dan kemanisan di sebalik ujian ini. Semuanya hanya dalam pengetahuan-Nya. Moga Ummi terus diberi kekuatan dan kesabaran. 

Al Fatihah untuk bonda tersayang; 
ROMLAH BINTI JAH. 
(10/10/1939 - 17/11/2020) 







13 comments:

  1. Innalillahi wainnailaihirajiun. Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada-Nya kami kembali.

    ReplyDelete
  2. Salam Takziah. Semoga arwah bersama-sama golongan beriman. AL-FATIHAH.

    ReplyDelete
  3. Salam takziah buat puan sekeluarga. Moga roh Tok tenang di sana, dan lapang dipenuhi cahaya rumah barunya.

    ReplyDelete
  4. salam takziah PH dan keluarga..moga arwah tenang disana dan ditempatkan dikalangan hambaNya yg beriman.

    ReplyDelete
  5. Salam Takziah, Allahu, keadaan sama macam arwah bapak saya nak meninggal dulu, pegang badan, tarik tangan dan baju kita kuat2... Semoga mereka semua dalam jagaan Allah dan dillimpahi rahmat di tempat baru... Amin Ya rabb.

    ReplyDelete
  6. perpisahan begini tak akan ada ubat untuk rindunya. faham perasaan tu kak.. semoga sentiasa kuat dan tabah. insyallah ktia semua akan jumpa lagi kesayangan2 kita di kampung abadi..

    ReplyDelete
  7. Pemergian yg husnul khotimah insya allah

    ReplyDelete
  8. Allahuakbar...sayu benar hati ni membacanya...berjuraian air mata bayangkan saat-saat pemergian arwah...semoga diberi kekuatan untuk akak sekeluarga..ameen ameen.

    ReplyDelete
  9. Innalillahi wainnailaihirajiun.. Allahummaghfirlahu warhamhu waafihi wa'fuanhu.. Salam takziah buat akak sekeluarga.

    ReplyDelete