Saturday 3 October 2020

Nostalgia Buah-buahan Kampung

Dah lama Tok Ayah share gambar-gambar buah-buahan kampung ni dalam WhatsApp group family Jitra. Untuk tatapan cucu-cucu agaknya. Ummi simpan gambar-gambar ni dalam Phone Gallery dengan niat nak abadikan dalam blog. Selain untuk berkongsi info, dapat juga mengimbau kenangan zaman kanak-kanak dulu. Ummi boleh relate hampir dengan setiap buah-buahan ni 😁 Dalam erti kata lain, rasa bertuah pula dapat kenal (rasa, makan, petik) buah-buahan kampung ni semua yang ada diantaranya sudah pupus di telan zaman. Atau jika masih wujud, sudah kurang dipedulikan.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada pemilik gambar dan pengirim asal perkongsian ini. Mohon izin untuk Ummi kongsikan di sini.

Ummi dibesarkan di sebuah rumah kampung yang dikelilingi pokok-pokok buah-buahan. Berumah dalam dusun. Bermacam-macam pokok yang ada dalam dusun Tok Wan. Dari pokok durian, petai hinggalah pokok palas, pokok nangka... Just name it. Dan hobi Ummi lepak dalam dusun 😅 

Ada beberapa batang pokok tampoi dalam dusun Tok Wan. Yang paling lebat dan rajin berbuah ialah pokok di sempadan tanah kubur (tanah waqaf masjid). Tampoi berbuah sama musim dengan durian, langsat, manggis dan rambutan. Kenyang Ummi bila tiba musim buah-buahan ni. Pendapatan Tok Wan pun bertambah bila hasil dusun dipetik dan dijual. Oh ya, kami panggil buah tampoi ni buah mekhey. Rasanya manis, isinya lembut berbiji. Bukan buah favorite Ummi :) 

Ada sebatang pohon rambai besar di dusun yang mengeluarkan buah saban tahun. Dan buahnya sangat manis. Tak semua pokok rambai buahnya manis tau. Pokok rambai ni lagi tua dari Ummi. Dari Ummi lahir hingga umur dah 4-series pokok rambai ni masih berdiri gagah. Cuma sudah kurang menghasilkan buah. Kenangan paling manis bila Tok Wan buatkan buaian kayu dan digantung di dahan rambai. Berangan jadi Bawang Merahlah Ummi time berbuai tu 😜

Waktu Ummi kecil ada beberapa batang pokok setoi (setol) di kampung. Pokoknya besar dan tinggi, tunggu buahnya jatuh gugur baru dapat makan ataupun kadang tu dikait dengan galah yang panjang. Isinya masam manis, lembik berbiji. Buah ni sedap dibuat jeruk. Sekarang ada pokok setol di belakang rumah pusaka kami tapi baka 'ringan', cepat berbuah. Selalu jadi habuan kera dan tupai je. 

Buah jambu air merah ni sedap dicicah dengan kicap + gula. Kalau ada kuah rojak lagi sedap. Buah ni sedap kalau berbuah musim hujan, kembang gebu isinya. Di tepi laman rumah Wan Lang ada sepokok jambu air merah ni. Walaupun sepokok je, boleh tumpang makan sekampung. Buahnya lebat hingga ke tanah!. 

Kenbarnya jambu air putih ni baka kampung yang ada di kampung Ummi. Buahnya panjang dan lonjong sikit. Ada 2-3 pokok di rumah Chey Yeh. Kalau merayau-rayau tepi carok (tali air) rajin juga Ummi mengintai-ngintai sambil petik buah jambu putih ni. 

Satu-satunya pokok nam nam yang ada ialah di rumah Tok Nik, nenek saudara ummi. Rasanya kelat-kelat masam. Nak habiskan sebiji pun bercinta kata orang. 

Pokok nona pun ada juga di rumah Tok Nik. Dari jemuran (pelantar) dapur rumah Tok Nik boleh nampak pokok nona menjulang tinggi. Ummi suka tengok rupa buah nona ni, ala-ala bentuk hati. Rasa dan rupa isinya seakan-akan buah durian belanda atau buah naga.

Buah favorite Ummi 😍 Dulu-dululah, sekarang dah tak berapa suka. Selera dah beralih kepada buah anggur, betik, tembikai dsbnya. Nostalgia buah keranji pernah Ummi coretkan di SINI.

Ada kisah lucu yang Ummi ingat sampai sekarang berkenaan buah rotan hihi... Ummi, Pakcik dan beberapa orang kawan-kawan sekampung diketuai Apit, anak arwah Pak Lang ke kebun getah abahnya untuk memetik buah rotan. Sampai di sana buah rotan yang dikatakan Apit tiada. Lantas dalam keadaan marah Apit berkata, "ni mesti ADONOT ambik ni.." Mendengar perkataan Adonot, kami berpandangan sesama sendiri dan terus membuka langkah seribu 😂😂😂 Apa itu adonot? Sekadar perkataan spontan yang keluar dari mulut Apit haha... Tapi, sebab kami berada di dalam kebun getah yang letaknya di kawasan bukit di hujung kampung tanpa ditemani orang dewasa,  cha alip but la jawabnya. Sekarang ni kalau disebut Adonot, masing-masing akan tersenyum kelat :) 

Di rumah Tok Nik juga ada beberapa batang pokok koko. Ummi pernah dipelawa oleh Mida, cucu Tok Nik makan buah koko ni tapi Ummi tolak. Katanya isi koko sangat manis.

Antara buah yang Ummi harap Ummi akan jumpa semula. Ummi suka sangat buah ni bukan sebab rasanya tapi kecantikan buahnya di samping nostalgia yang dibawanya. Di hujung halaman rumah ada sebatang pokok mertajam yang sering berbuah. Gugusan buahnya sangat cantik sebab berwarna-warni. Putik buahnya  berwarna hijau pada awalnya, kemudian akan bertukar ke warna kuning, kemudian oren. Bila matang sedikit, warnanya merah hinggalah bila dah ranum dan sedia dipetik warnanya bertukar ungu kehitaman. Rasanya masam-masam manis gitulah. Setiap kali pokoknya berbuah, setiap hari Ummi akan perhatikan perubahan warna buahnya. Buah ni kegemaran burung.

Kawan sekelas Ummi, Marina menjual buah jambu susu ni di kelas agama kami. Sebiji 20 sen kalau tak silap Ummi. Walaupun sedikit masam tapi enak dijadikan kudapan. 

Lebih kurang rasanya dengan buah jambu susu, buah jambu ni kami panggil jambu bola. 

Buah cenderai atau kami sebut ceperai ni sejenis sayuran hutan. Ummi pernah kongsikan perihal pokok ceperai di SINI

Pokok kerkup (atau khe-le-khop) tumbuh di kawasan semak. Ada sebatang pokok kerkup yang tumbuh di tanah waqaf masjid, tepi jalan. Sanggup Ummi dan Ja, redah semak untuk ambil buahnya. Bukanlah sedap mana pun, tapi warna buahnya yang masak ranum menarik perhatian kami. Gigih panjat pokok nak mendapatkan buahnya 😅

Kalau tak silap Ummi ini buah markisakan? Kalau buah markisa ada sebatang pokoknya di rumah Tok Lang. Sekarang pun ada lagi. Pokoknya renek seperti kebanyakan pokok bunga. Berbuah sepanjang tahun agaknya sebab setiap kali Ummi ke rumah Tok Lang, sentiasa berbuah pokok ni. Buahnya masam ya amat! 

Sebenarnya ada beberapa gambar lagi tapi Ummi tak pernah lihat atau makan seperti buah cak plem, buah berembang, buah cermai merah, buah jambu mawar, buah cerapu, buah rokam dan buah seralat. Jadi, Ummi hanya kongsi yang Ummi tahu saja. 

Selain tu, ada beberapa lagi buah-buahan kampung yang Ummi tahu, pernah lihat dan makan seperti buah kumbar, buah sengkuang, buah kerian, buah guchil, buah gemia, buah star (kundang), buah pauh, buah asam (seakan limau bali), buah macang dan banyak lagi. Semua buah-buahan ni jadi kudapan kami. 

Kadang tu berangan juga untuk ada dusun seperti arwah Tok Wan dulu. Doakan ye 🤗

14 comments:

  1. Memang ada buah saya tidak pernah makan atau pernah dengar.

    ReplyDelete
  2. Buah kerkop tu saya cari dah lama tak jumpa-jumpa, suka makan. Buah mertajam tu kami panggil buah bunni, saya jumpa masa ke Indonesia, buah sentul nampak gambar saja dah kecur liur,

    ReplyDelete
  3. Ya Allah! Terliur pulak melihat gambar buah-buah legend ni... tampoi, rampai, sentol, jambu susu,jambu batu.... kecuuurrr!

    ReplyDelete
  4. Buah2 nadir dah semakin berkurangan dan sukar didapati

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ye Wak. Dapat abadikan dalam blog ni pun rasa seronok, utk rujukan anak-anak nanti :)

      Delete
  5. rindunya nk makan buah2 yang rare tu ...masa kecik2 dulu sellau jumpa..sedap2 semua buah2 ni ..

    ReplyDelete
  6. Seronok saya baca entri ini. Banyak buah yang saya tak pernah tengok dan rasa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Buah-buahan kampung Farrah... Tapi skrg pun banyak yg dah pupus :(

      Delete
  7. Buah tampoi kalau di Sabah kekadang ada juga di jual di tamu panggil pugi. Jambu jual sekarang tak macam dulu susah nak dapatkan pelbagai jenis.

    ReplyDelete