Wednesday, 6 June 2012

Sepekan yang Panjang


Ucapan Pembukaan oleh Gubernor Jawa Barat, Bapak Ahmad Herwayan
Catatan ini saya dedikasikan untuk imbauan kenangan suatu hari nanti. Akan ditemukan dalam coretan ini nilai pengorbanan, persaudaraan, persahabatan dan kasih sayang. Sungguh benar sekali firman Allah di dalam surah Al Hujurat (49:13),

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal…”


Tugasan sempena Bandung Islamic Finance & Investment Summit 2012 (BIFIS 2012) membawa saya ke daerah aman dan tenang, kota Bandung. Kunjungan saya kali pertama boleh di baca di SINISINI dan juga SINI . Jika kali pertama ke sini saya hanya berada 3 hari tapi untuk kunjungan kedua ini saya berada di sini sepekan lamanya.

Hari Pertama

Seawal jam 6.30 pagi saya melangkah meninggalkan anak-anak dan suami untuk ke KLIA, kerana pesawat kami akan berlepas ke Jakarta jam 9.10 pagi. Saya dijemput oleh A dan suaminya kerana suami saya tidak dapat menghantar saya ke KLIA. Tangisan Fawwaz sedikit sebanyak menggoncang naluri keibuan saya. Ditambah pula keadaan Nawfal yang tidak sihat menjadikan perpisahan sementara ini sungguh berat. Tanpa sedar, saya juga lupa menyalami tangan suami. Mujur kami telah berjemaah Subuh bersama dan beliau telah menitipkan pesan dan memberi keizinannya kepada saya ketika itu. Hanya kepada Allah saya sandarkan seluruh harapan agar kami semua bertemu semula.

Jam 7.30 pagi kami tiba di KLIA. Suasana amat sesak sekali. Kebetulan ia hari pertama cuti sekolah bermula jadi ramai yang mengambil kesempatan untuk bercuti bersama keluarga. Kami bergegas ke kiosk untuk self check-in. Malang, perlu mendapatkan dulu nombor e-ticket. Bergegas pula kami ke kaunter untuk mendapatkan nombor tersebut. Kami dinasihatkan membuat self check in kerana que terlalu panjang. Selesai check in kami beratur untuk drop luggage. Entah dimana silapnya, perkhidmatan MAS terlalu lembab pada hari itu. Tiada kaunter khas untuk check in bagasi sahaja. Samaada anda sudah self check in atau belum, anda perlu beratur bersama-sama. No point to do self check in!

Jam 8.15 pengumuman dibuat kepada sesiapa yang akan ke Jakarta sila ke kaunter F. Aduh, bergegas lagi saya dan A menarik bagasi masing-masing. Melewati jam 8.40 iaitu waktu pintu pesawat dibuka tetapi kami berdua masih beratur… Tiba-tiba pegawai di kaunter menjerit memanggil sesiapa yang ingin ke Jakarta sila ke kaunter. Barulah kami dapat check in. Selesai prosedur, kami diminta terus ke Gate 4 kerana pintu pesawat akan ditutup bila-bila masa. Jam sudah menunjukkan pukul 9. Berlari kami berdua ke Gate 4, lagaknya seperti peserta Amazing Race. Alhamdulillah, kami selamat masuk ke pesawat.

Jam 11.30 kami selamat tiba di lapangan terbang Soekarno-Hatta. Mas Yana telah sedia menunggu kami untuk dibawa ke Bandung. Kami menaiki kereta Innova yang disediakan pihak PT Saga. Terasa lega perasaan setelah berada di dalam van tersebut. Perjalanan ke Bandung akan mengambil masa 3-4 jam. Sungguh ia hari yang sungguh panjang.

Bunting BIFIS menyambut kedatangan kami
Kami tiba di GRP jam 3.30 petang. Kami disambut mesra oleh Kang Romy, salah seorang urusetia. Tiada yang amat didambakan saat itu, kecuali katil untuk melepas lelah.

Sambil berehat di hotel kami juga menunggu khabar seorang lagi rakan, B yang akan menyertai kami. Beliau datang dengan pesawat AirAsia, terus ke Bandung. Sepatutnya beliau sampai jam 4.45 tetapi kami masih tidak menerima berita dari beliau. Jam 6 kami mendapat tahu dari pegawai atasan, Hj C bahawa B ditahan Imigresen kerana muatan berlebihan. Jadi, kami bergegas ke airport bersama LO kami, Kang Romy untuk membantu B. Lega sungguh bila memandang B sedang menanti dengan senyuman. Kami gusar kerana ini kali pertama B ke Bandung, seorang diri pula. Inilah bahana kerana sepatutnya buku-buku tersebut di courier sahaja tetapi pihak pentadbiran mahu ianya di bawa oleh staf. Nasib baik B tidak ditahan, beliau hanya diminta membayar denda.

Kami pulang ke hotel dan menjamu selera bersama-sama Ibu Ayu, Ibu Sari, Kang Billy dan Kang Hafiz. Romy turut menyertai kami. Ini kali pertama kami semua bersua muka tetapi keramahan dan kemesraan yang di pamerkan menambat hati.

Selesai menjamu selera, kami berpisah ke bilik masing-masing untuk melepas lelah.

Hari Kedua

Kami dimaklumkan bahawa jam 10 akan diadakan mesyuarat untuk mengkoordinasi tugasan antara CERT, SEBI dan PT Saga.

Orang kuat BIFIS sedang bermesyuarat
Jam 10 kami melaporkan diri di bilik sekretariat. Kami bertemu semula dengan Mas Hendro dan Pak Sigit yang telah kami kenali sebelum ini. Mesyuarat di serikan dengan hidangan istimewa masyarakat Sunda. Untuk makluman, populasi terbesar masyarakat Bandung terdiri dari suku Sunda. Mesyuarat berjalan dalam suasana santai sekali.
Hidangan tengahari yang amat lazat
Hidangan tengahari juga disajikan di bilik sekretariat. Sungguh saya kagum dengan cara mereka menjaga kebajikan urusetia dan tetamu. Makanannya amat enak sekali. Saya juga tertawan dengan cara pembungkusan makanan mereka – sungguh menarik dan komersil sekali. Walaupun lauk campur, tetapi makanannya di bungkus kemas di dalam kotak. Nasi dibalut daun pisang, manakala sayur di bungkus di dalam sealed plastic lengkap dengan dessert dan buah sekali.

Persiapan dewan juga mula mengambil tempat sekitar jam 3 ptg. Ianya persiapan yang sungguh mengujakan.

Backdrop sedang disiapkan oleh pekerja-pekerja yang sangat dedikasi
Di malam hari pula diadakan rehearsal bagi emcee. Keadaan agak kurang teratur dan meletihkan kerana terpaksa beberapa kali merombak skrip. Kami juga perlu memastikan tagging yang betul disediakan di dalam holding room dan di kerusi VVIP. Namun, kerana jumlah urusetia yang ramai, kerja dapat dibereskan dengan lebih cepat. Mereka ada coordinator untuk setiap tugasan seperti floor manager, PA system, welfare, usherer, registration dan sebagainya. Berbeza dengan KLIFF, organisasi mereka lebih tersusun. Inilah juga yang saya bisikkan kepada YM Tengku, Dr Daud dan En Aziz agar perkara yang sama dapat diaplikasikan kepada KLIFF.

Hari Ketiga

Meja registrasi dan penyambut tetamu
Hari ini Simposium Antarabangsa Fiqh Keuangan Islam akan berlangsung. Memandangkan masa di Bandung lewat sejam dari waktu Malaysia, kami punya banyak masa sebelum proses pendaftaran bermula.  Semangat setiakawan panitia dan semua pihak yang terlibat memudahkan urusan pendaftaran, sambutan VVIP dan lain-lain. Setiap Ketua panitia dibekalkan dengan walkie-talkie, memudahkan lagi urusan komunikasi.
Mereka memang sungguh berbakat
Satu live band telah diletakkan di penjuru pentas utama khusus untuk menghiburkan tetamu. Ini amat jangkal pada mata kami delegasi Malaysia tetapi suatu yang biasa pada masyarakat setempat. Band ini akan membuat persembahan di setiap waktu senggang – tea break dan lunch time. Antara lagu yang dinyanyikan termasuk Dealova, Isabella, Insha Allah dll.

Majlis pembukaan dilaksanakan oleh Gubernor Jawa Barat sendiri, Bapak Ahmad Heryawan. Beliau fasih berbahasa Arab, English dan semestinya Bahasa Indonesia. Seorang delegasi Malaysia menyatakan kekaguman beliau kerana jarang sekali pemimpin yang mempunyai kebolehan seperti Bapak Ahmad Heryawan. Paluan gong oleh beliau menandakan Simposium ini dibuka secara rasminya.

Sesi seterusnya adalah sesi perbincangan antara ahli-ahli penasihat Syariah antarabangsa termasuk Sheikh Nizam Yaqubi, Sheikh Esam Ishaq, Sheikh Dr Al Olama dan Dr Mohd Daud Bakar. Kemudian disusuli dengan sesi pembentangan kertas kerja oleh penceramah jemputan dari Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Untuk malam hari, sekali lagi diadakan rehearsal untuk acara kemuncak iaitu Bandung Islamic Finance & Investment Summit (BIFIS). Keadaan agak terkawal kerana masing-masing telah mendapat pengalaman dari Simposium siang tadi. Pihak urusetia juga mengadakan post-mortem untuk memperbaiki kesilapan-kesilapan siang hari tadi.

Hari Keempat

VVIP sedang berehat di holding room sementara menunggu majlis bermula
BIFIS sebenar berlangsung hari ini. Sekali lagi Bapak Gubernor sudi menghadirkan diri untuk merasmikan majlis ini. Semuanya lancar sekali.

Gedung Sate - mercu tanda Kota Bandung adalah pejabat pentadbiran Governor Jawa Barat
Pada malam harinya kami bertolak ke Gedung Sate, mercu tanda Kota Bandung yang juga merupakan pejabat pentadbiran Gubernor Jawa Barat. Beliau berbesar hati meraikan tetamu BIFIS ke pejabatnya. Makanan yang disediakan amat menarik sekali seperti bakso tauhu, mee kocok dan lauk pauk tempatan.

Persembahan arumba - Alunan Rumpun Bambu
Juga diadakan persembahan khas arumba – alunan rumpun bambu. Menjadikan kebiasaanya masyarakat Indonesia untuk menggunakan short form bagi perkataan-perkataan tertentu, menjadikan bahasa mereka sungguh unik.

Hari Kelima

Pak Sigit sedang memberikan ucapan penutup BIFIS 2012
BIFIS bersambung untuk hari kedua. Sesi pembentangan dan perbincangan di teruskan untuk hari kedua dan terakhir. Pak Sigit selaku Pengerusi BIFIS 2012 telah memberikan ucapan penutup dan dengan rasminya acara BIFIS 2012 berakhir tepat jam 6 petang.

Pada malamnya kami mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan di sekitar kota Bandung dengan ditemani Maria. Beliau membawa kami ke Jalan Riau, Paris van Java dan ke puncak bukit untuk menikmati makan malam. Ianya satu pengalaman yang amat manis. Saya akan kongsikan dalam entry yang lain, insha Allah.

Hari Keenam

Seawal jam 7 pagi kami bersiap untuk bersarapan dan terus check out. Sedang enak bersarapan B datang dan memohon bantuan untuk menguruskan Masterclass. Kami bergegas ke bilik sekretariat. Rancangan awal kami ingin ke Tangkuban Perahu tetapi memandangkan masa terlalu suntuk, kami hanya akan ke Pasar Baru – tempat tumpuan warga Malaysia untuk membeli belah.
Outlet Amanda - malangnya brownies kukus yang menjadi signature menu Amanda habis dijual. Ini menunjukkan peningkatan pelancong dari Malaysia sempena cuti sekolah ini
Jam 8.30 pagi kami bergerak meninggalkan GRP dengan membawa segala kenangan manis yang akan menjadi rakaman peribadi yang amat tinggi nilainya. Kami berputar-putar di sekitar Kota Bandung dan singgah di outlet Amanda untuk mendapatkan brownies kukusnya yang istimewa itu. Malangnya, tiada stok. Bergegas pula ke Kartika Sari untuk mendapatkan banana roll, juga kehabisan. Singgah sekali lagi di Kartika Sari, juga stok banana roll habis. Mungkin tiada rezeki sanak saudara di Malaysia untuk menikmati keenakannya.
Outlet Kartika Sari - banana roll juga habis terjual!
Terus kami menuju ke Pasar Baru, dengan ditemani Maria. Beliau memang handal dalam tawar menawar dan kami Berjaya mendapat harga yang sungguh istimewa untuk kain batik, kain pelekat dan kain batik lepas. Hatta untuk membeli buah salak dan kerepek juga Maria yang menjadi jurucakap dan juru tawar. Thank you Neng!

Jam 11 pagi kami terus bergegas ke Bandara (Soekarno-Hatta Airport) untuk pulang ke KL. Perjalanan yang awalnya lancar mula tersangkut-sangkut setelah menghampiri Kota Jakarta. Macet! Dua jam terakhir perjalanan kami adalah very the very heavy traffic jam, merangkak-rangkak atau pun bumper to bumper. Kesian Mas Yana, keretanya hari ini kereta manual. Sungguh, saya, A &  Hj C sudah kehilangan modal untuk berbual. Masing-masing hanya membisu melayan lelah. Kami sampai di Bandara jam 4.30 ptg, terus bergegas untuk makan tengahari dan seterusnya check-in luggage. Setelah selesai, kami menunaikan solat jamak Maghrib & Isyak.

Saya sempat membeli sedikit cenderahati untuk keluarga dan teman-teman di kedai Duty Free yang disediakan sementara menunggu panggilan masuk ke pesawat. Alhamdulillah, perjalanan kami lancar dan selamat tiba di KLIA jam 10.30 malam, dalam suasana hujan renyai-renyai.

Sekali lagi saya menumpang kereta A untuk pulang kerana anak-anak dan suami masih berada di kampung. Tepat jam 12.30 saya tiba di rumah.

Hari Ketujuh

Suami telah membelikan tiket bas untuk saya pulang ke kampung kerana beliau dan anak-anak masih berada di sana. Ini pengalaman baru bagi saya kerana sudah terlalu lama saya tidak menaiki bas, mungkin hampir sepuluh tahun lamanya. Kali pertama juga saya menaiki bas di Hentian Duta, sebelum ini saya kerap menghantar ibu ke sini.

Sekali lagi saya perlu melalui perjalanan yang panjang, selama 7 jam dari ibu kota menuju ke utara tanah air. Perjalanan saya tersangkut di tol Alor Star (U) dan (S) kerana kebetulan pada hari yang sama diadakan ‘Himpunan Hijau ke Putrajaya” di Alor Star. Jarak antara kedua tol yang hanya lebih kurang 5km mengambil masa hampir satu jam. Dalam hati saya hanya mampu berdoa agar dipermudahkan urusan kerana saya terlalu rindu menatap wajah anak-anak.

Alhamdulillah, akhirnya saya selamat kembali ke pangkuan suami dan anak-anak tercinta. Senyuman dan dakapan mesra anak-anak menjadi pengubat rindu.
Kalau ada sumur di ladang boleh hamba menumpang mandi, kalau ada umur panjang, boleh kita berjumpa lagi
Sungguh saya melalui minggu yang amat panjang. Namun hati saya masih rindu dan terkenang-kenang  budi bahasa, tutur kata dan kemesraan warga Bandung. Semoga ketemu lagi Bu Ayu, Bu Sari, Pak Ramram, Mas Hendro, Pak Sigit, Pak Hadian, Romy, Billy, Maria, Mimi, Pak Hendra, Ustaz Taufik, Tina, Yusuf, Rais, Herwin, Ilham, Trisya, Siska, Putri, Dana, Nadia, Pak Dede, Pak Cecep, Dani dan lain-lain. Budi baik kalian amat dihargai.

Sungguh, hati saya tertinggal di Bandung…

sepekan = seminggu...:) 

No comments:

Post a Comment