Sunday, 30 June 2019

Raya Sana Sini III



Usai exam UKS Kakak kami terus jemput Abang di akademi dan pecut (baca: bergegas) ke Melawati. Pecut sebab dah hampir pukul 1 tengahari, lapaq nasi haha... Mujur juga kendurinya di Melawati je. Kalau di Shah Alam, jenuh lapaq ceq 😜


Ingat lagi Inara? Kenduri aqiqah dialah Sabtu lepas. Majlisnya dibuat di Dewan Pusat Komuniti IKRAM Ampang Jaya. Bestlah dewan ni sebab serba serbi lengkap walaupun di ground floor shoplot je. Ada aircond, bilik air bersih, sinki, karpet, sofa semua complete untuk majlis kecil-kecilan seperti training/seminar mahupun kenduri macam ni. Bila lepak dalam tu rasa tak nak balik. Di tambah pula dengan makanan yang super sedap dan layanan tuan rumah yang tip-top.

Macam-macam makanan yang ada...



Dihidangkan ala-ala hotel gitu 😍

Kopi ais dan Nescafe ais. Boleh tiru idea ni. 

Dah pandai buat free style sekarang 😁

Bila ditanya, kata ibu Inara ini semua rezeki Inara. Ialah... Kami dulu pun masa 'dapat' Abang, kenduri besar juga masa sambut hari lahirnya yang pertama. Kami buat kenduri kesyukuran, siap pasang khemah depan rumah 😊 sampai kena perli dengan ex-boss haha... Yelah, makin kita bersyukur, makin Allah tambah nikmat kan? Niat biar betul dan jangan membazir, insha Allah ada berkat, ada pahala.

Moga Inara membesar sebagai penyejuk mata ibu ayah sentiasa. Aamiin.


Malamnya pula kami ke Cafe Kita, Bukit Tunku memenuhi jemputan rumah terbuka dan majlis sambutan ulang tahun Technoprestige yang ke 10. Alhamdulillah tumpang gembira dan syukur tengok usahawan bumiputera yang berjaya. Moga terus berkembang maju hendaknya aamiin. Boss Ummi dulu pun, bila masuk tahun ke-10 penubuhan syarikat, sakan juga belanja staff. Tahun tu family day kami di Pangkor Laut Resort. Bonus pun minima 1.5 bulan gaji. Rezeki dikongsi bersama :) bila sesebuah organisasi tu boleh survive sampai 10 tahun tu kira hebatlah. Lebih-lebih lagi company sdn bhd macam tempat kerja Ummi dulu. 

Ikutkan rasa kenyang lagi makan kenduri Inara siang tadi. Tapi bila nampak nasi putih dengan daging masak salai laju je Ummi senduk nasi dan lauk haha... 


Laksa johor share-share je 

Seronok lepak kat sini, sejuk je dengan angin sepoi-sepoi bahasa bertiup sekali sekala. Makan pun santai je.


Terima kasih daun keladi tuan MD 🤗

Sebenarnya hari Sabtu tu kami ada lagi jemputan;  House warming Aunty Pei di Puchong dan open house Paksu SA di S. Alam tapi tak dapat nak pergi. Yang 'geramnya' Aunty Pei ni lah. Boleh pulak dia buat house warming time raya ni hihi... She is our Chinese friend actually. Agaknya dia pun nak celebrate the spirit of Syawal with her Muslim friends. One fine day nak kena visit juga Aunty Pei ni sebab dah lama sangat tak jumpa dia.

Semalam, Ahad ada juga one last invitation from Maksu Ida. Open house cum bday party anaknya. Since kami pun belum pernah jumpa baby Muaz, excited juga nak ke majlisnya. Dapat juga jumpa dengan mak ida yang last time kami jumpa masa wedding ida dulu. 

Lemang jagung 😋

Happy 1st birthday Muaz 🎉🎉🎉

Syawal pun dah di penghujung. Terima kasih kepada yang menjemput. Yang tak dapat di penuhi jemputannya tu harap fahamlah ye. Tahun depan jangan lupa jemput lagi  ye 🤗

Saturday, 29 June 2019

Kakak ~ UKS SRAI 2019



Semalam, 29/6 Kakak ambil Ujian Kelayakan Sekolah (UKS) SRAI 2019. Mengikut info dari PK HEM sebanyak 258 permohonan yang di terima. Yang akan di terima masuk untuk sesi 2020 hanyalah kira-kira 100 orang. Harapnya Kakak antara yang berjaya aamiin. Besar harapan kami agar Kakak dapat sekolah sama dengan Abang dan Angah. 




Kakak OK je semalam, tenang dan ceria je. Ada jugalah anak-anak yang nampak cuak je masa berbaris, yang tak nak lepas tangan mak ayah dan yang menangis pun ada. Ikut kata PK HEM ada 3 calon terpaksa dikuarantin (diasingkan) sebab tahap menangis depa boleh mengganggu calon-calon lain 🤭 Moga dipermudahkan urusan mereka semuanya. Yang ambik exam dalam bilik rawatan pun ada, sebab calon tu kena chicken pox. Gigih datang sebab exam ni sekali ni sahaja. Kalau miss memang mekepas! Ada sorang kawan Pasti Kakak terlupa tarikh exam hari ni. Takde rezeki dialah :( Uzma dan Rayyan kawan kat Pasti pun ada tapi tak jumpa pula. Ramai kan... 

Ujian ni lama, 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari bagi keseluruhan sesi. Adalah break juga. Sementara menunggu tu, Ummi lepak di surau dengan anak-anak.  



UKS ni ada 2 bahagian; bertulis (70% markah) dan ujian lisan 30% markah. Kata Kakak ujian bertulis dia OK kecuali jawi, dia tak berapa pandai nak sambung huruf. Ujian lisan pun OK katanya kecuali BI kantoi bila teacher tanya "what is your hobby?" dia tak reti jawab 😆 Takpelah Kakak, Ummi tahu Kakak dah buat yang terbaik. Kita dah usaha, sekarang ni kita berdoa banyak2 bagi Kakak berjaya. 

18 Julai ni keluar result. Tolong doakan Kakak ye 🤗🤗🤗

Tuesday, 25 June 2019

Sastria Hotel Sungai Petani



Di sinilah singgahan pertama kami sewaktu balik ke Kedah raya tempohari. Ada urusan yang hendak di buat jadi kami bermalam di Sungai Petani (SP) terlebih dahulu sebelum balik ke Jitra keesokan harinya.

Walid booked family room with 2 queen beds. Harganya cuma RM105. 00. Walaupun saiz bilik tak berapa besar tapi cukup selesa untuk kami berenam. Bilik airnya sangat luas. Bonus bila ada bath tub pula dalam bilik air tu. Sukalah anak-anak bila ada tempat berendam. Depa kan best friend dengan badak air 🤣🤣🤣 Entah-entah terbatal puasa Abang dengan Angah tu. Lama sangat berendam hihi...






Bilik kami ni di tingkat 3. Mula tu Ummi komplen juga sebab takde lif hihi... Tapi bila 2-3 kali naik turun tangga tu ok je. Lainlah kalau Tok ikut, memang request bilik bawah.



Biliknya bersih dan kemas. Tuala yang disediakan semuanya wrapped in a plastic case. Toiletries yang disediakan pun 'generous'. This room is meant for 4 occupants sebab tu everything provided are 4 sets.



Waktu checked in kami di berikan 1 unit sejadah dan kupon parking. Hotel ni terletak di kawasan shoplot dan kawasan parkirnya adalah parkir berbayar di bawah seliaan Majlis Perbandaran SP. Lokasi hotel ni berhampiran dengan Hotel Swiss Garden SP.  Di hadapan dan bersebelahan hotel ada kedai makan jadi tak susah untuk kami beli juadah berbuka dan sahur. Cuma untuk berbuka tempohari kami beli food di bazar Ramadhan Taman Ria yang happening tu.

Staff pun friendly and helpful. Rupanya Adik tertinggal buku aktiviti di hotel. Bila staff hotel call Walid (lepas checked out) baru kami sedar. Bagus betul depa maklumkan dan tolong simpan dengan elok sekali. Raya ketiga on the way balik ke Baling baru kami singgah ambil. Hampir seminggu juga dalam simpanan mereka.

Sastria Hotel ni  dibawah senarai Hotel OYO. Sepintas lalu dari  pembacaan Ummi , OYO Hotels is South Asia's largest and world's fastest growing chain of homes, hotels and living spaces (Sumber: NST) . Ummi pun tak berapa faham konsep/business modelnya tapi katanya kalau book thru OYO apps boleh dapat harga murah. Lebih menjimatkan. Tapi kami direct booking, lebih selesa cara konventional. Kalau perasan, sekarang banyak hotel bajet yang ada nama/logo OYO di premis mereka. Mungkin OYO membantu dari segi sales & marketing. 

Sastria Hotel 
28 Jalan Pahlawan
Taman Lagenda Indah
08000 Sungai Petani 
Kedah Darul Aman
No tel: 04 424 6744

Monday, 24 June 2019

Raya sana sini II



Allahu... Penat sungguh beraya hujung minggu lepas. Bukanlah beria nak beraya sampai sebulan pun. Tapi bila dijemput tu kita hadirlahkan. Itu pun pilih-pilih juga sebab masa tak mengizinkan. 

Jemputan minggu ni;
18 Syawal (Sabtu) 
> open house Moha @ Pandan Perdana 
> open house dan tahlil Chudil @ Sg Tua
> gathering EMS @ Shah Alam

19 Syawal (Ahad) 
> open house Asyraf @ Shah Alam
> open house & kduri kesyukuran Shaz @ Harmonis
> open house Iman @ Gombak 

Sabtu tu asalnya memang kami plan nak  ke open house di Pandan Perdana tu tapi ada pula kawan Walid, Yeop nak datang beraya. Dah dua kali beliau berhasrat nak datang, tapi ada je halangannya. Ini kali kita kasi jadi. 

Nasi minyak & geng 

Alang-alang dah masak tu, Ummi ajaklah sekali jiran-jiran rapat. Ajak makan tengahari, tapi lepas solat zohor baru semua pakat datang. Biasalah, rumah sebelah je, apa nak kalut. Seronok dapat bersembang dan bertukar-tukar cerita. 

Menjelang Asar Ummi pun 'tutup kedai'. Nak bersiap untuk gathering EMS di Shah Alam. This event memang awesome. Keluarga EMS ibarat keluarga sendiri. Cerita lanjut menyusul insha Allah.

Salam Aidil Fitri dari kami 'Geng EMS' 

Esoknya kami hanya beraya di sekitar Gombak. Jemputan di Shah Alam tu terpaksa dilupakan. Malam Sabtu tu sampai di rumah pukul 11.30. Esoknya mendobi baju dsbnya. Lepas zohor baru keluar beraya. Walaupun sekitar gombak je tapi  jalan jem juga di sana sini.

Kuih muih dan kek sedap-sedap air tangan Shaz dan K. Ta, geng SRAI juga. 

Alhamdulillah,  suami Shaz (papa Adam) terpilih untuk bertugas di tanah suci lagi tahun ni. Khabarnya beliau akan lead team di Mina nanti. Kali ni kenduri kesyukurannya di buat di rumah mereka sendiri. Kalau buat di rumah Atok Adam rasanya kami dah tak pergi. Ummi masih gayat teringat naik bukit turun bukit nak ke rumah Atok Adam tu hihi... 

Kenyang main beyblade je lah budak2 ni 😑

Di rumah Iman pula Ummi makan lagi...laksa dengan nasi goreng sikit. Sambal tumis ikan bilis tu memang wajib Ummi ambil kalau makan kenduri di rumah Iman. Rasanya superb! 


Cantik sampul raya dari tauke Nur Iman Marketing ni. 
Sambil beraya sebenarnya sambil ziarah adik Iman. Ya Allah comel sungguh. Geram nak cium-cium 😍😍😍

Hadiah untuk baby Imani 💝

 Hujung minggu ni rasanya lagi teruk jem, final weekend Syawal and pay day. Jemputan untuk Sabtu dah full dari siang ke malam. Ahad tu rasa nak duduk rumah je lah. Abang kata kawan-kawan dia nak datang beraya. Kawan-kawan Walid pun ada yang dah merisik khabar, bagi hint nak datang beraya. Ummi tak plan apa-apa lagi sebab nak recover dulu kepenatan minggu ni hehe...

Thursday, 20 June 2019

Haji ~ Kisah Nabi Ibrahim Penguat Semangat dan Pengubat Resah


Dengar berita pagi tadi, menurut Dato' Seri Zukri Samat (MD & CEO, Tabung Haji) penerbangan pertama jemaah haji tahun ni akan bermula 4 Julai 2019 bersamaan 1 Zulhijjah 1440H. Kata beliau lagi, Kursus Haji Perdana akan bermula hujung minggu ni. Tahniah kepada yang bakal menjadi tetamu Allah. 


Pastinya saat ni  para bakal tetamu Allah akan bercampur baur perasaannya; gembira, teruja, sebak, sayu semuanya menjadi satu rasa yang sukar untuk diungkapkan. Ummi dulu macam tu jugak :) seminggu sebelum berangkat, demam! Walaupun terselit rasa teruja, tapi tak dinafikan dalam hati tetap tak keruan. Memikirkan anak-anak yang bakal ditinggalkan memang rawan jadinya. Tambahan pula Kakak tetap menolak bila Ummi mula bagi susu botol. Tok pun jatuh sakit sebab risau memikirkan cucu-cucunya 😇😇😇. Tapi kita kenalah kuatkan semangat. Yakin sepenuhnya bila Allah dah jemput kita ke rumah-Nya, pasti Dia aturkan yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya. Mungkin juga Dia ingin menguji iman kita, samada bersediakah kita untuk meninggalkan segala kecintaan dunia demi  meraih cinta-Nya? Tepuk dada tanya iman. Haji itu sendiri sebenarnya menuntut pengorbanan yang sangat besar dari kita. 

Bagi yang masih berasa gusar, bimbang terutama dalam hal nak meninggalkan anak-anak kerana menyahut panggilan haji, ingatlah kisah Nabi Ibrahim AS. Lagi hebat ujian Baginda bila terpaksa meninggalkan anak kecil dan isteri tercinta di lembah tandus bernama 'Bakkah' (nama lain bagi Mekah). Cuba bayangkan kerisauan Baginda. Tiada manusia, tiada bekalan asas hatta air sekalipun. Apatah lagi alat komunikasi seperti kita sekarang pun tiada. Namun, kasih sayang Allah mengatasi segalanya. Ditakdirkan Nabi Ismail 'menjumpai' mata air yang dinamakan Zam Zam (berkumpul) bersandarkan perkataan yang disebut bondanya Siti Hajar tatkala mengumpulkan air tersebut. Akhirnya ditakdirkan lembah tandus tersebut menjadi singgahan dan penempatan para kafilah Arab yang berdagang melalui kawasan tersebut. Sehingga sekarang Mekah kekal menjadi kota yang Istimewa dan dambaan jutaan umat Islam seluruh dunia. 

Sorang 3 tahun, sorang 10 bulan time tu. 

Abang baru 6 tahun. Adik pula bayi pasca haji 😊

Berkenaan Kursus Haji Perdana pula, kami suami isteri dijemput ke Masjid Putra, Putrajaya untuk kursus ini. Malangnya kami tidak dapat mengikutinya kerana terikat dengan urusan lain. Kalau tak silap, tarikh yang sama kami ada kenduri sepupu dan keesokan harinya kenduri kesyukuran di rumah kami sebelum kami berangkat pulang ke kampung seminggu kemudiannya dan seterusnya berangkat ke tanah suci. Walaubagaimanapun Kursus Intensif Haji peringkat Wilayah Persekutuan sempat kami ikuti. Alhamdulillah urusan haji kami dipermudahkan Allah dari sebelum, semasa dan selepas haji. Moga ianya menjadi haji yang mabrur buat kami suami isteri. 

Ummi kongsikan semula link tentang keperluan haji yang boleh di jadikan panduan. Tengok lah kesesuaiannya. Mana yang rasa nak bawa, bawa. Taknak takpe hihi... Ummi pun pergi haji 5 tahun lepas, pastinya banyak perubahan dari segala segi. 


Happy reading 🤗


Wednesday, 19 June 2019

Raya sana-sini I


Sudah menjadi amalan bagi masyarakat Muslim di negara kita untuk mengadakan rumah terbuka bila tiba Aidil Fitri.


Alhamdulillah banyak jemputan rumah terbuka yang kami terima saban minggu sampaikan nak jemput jiran-jiran beraya  di rumah pun masih belum ada kesempatan. Ingat nak slot in esok malam. Tengoklah macamana. Rajin ke tidak sebab malam esok ada movie Captain America : Civil War haha... Nak buat open house besar-besaran tu tidaklah. Sekadar nak berborak, bertukar cerita je. Ngeteh ke ngopi tu je konsepnya. Dah lama kami tak buat open house. Lebih kepada siapa nak datang, datang je. Kalau bagitau awal, Ummi masak special sikit. Kalau lagi 5-10 minit nak sampai baru 'roger', hidang apa yang ada je hihi...

Untuk memenuhi jemputan rumah terbuka pula kami lebih selective sejak beberapa tahun kebelakangan ni dan tahun ni lebih lagi. Abang tahun ni akan menduduki UPKK. Setiap Sabtu ada tuition, separuh hari dah 'gone'. Jadi priority pada Abang dan UPKK related activities. Selain tu, ambil kira juga waktu rehat/study Angah dan Kakak. Kalau asyik keluar beraya je hujung minggu, kesian juga anak-anak. Bila masa nak buat homework, rehat, riadah, tengok TV dsbnya. Tahu sajalah musim raya ni, traffic jam sana sini, banyak masa terbuang atas jalan. Keutamaan juga diberi kepada jemputan yang rumahnya kami belum pernah ziarah. Kalau jauh pun, kami usahakan untuk sampai. Bukan apa, jika tak dijemput datang beraya/kenduri, jarang kami nak saja-saja terjah rumah orang kecuali ziarah orang sakit atau kematian. 

Panjang pulak intro. Nak share jemputan minggu lepas, 11 dan 12 Syawal 1440H je sebenarnya 😁 

11 Syawal kami beraya di Cheras, rumah member Walid di 'Syarikat Letrik' dulu. Lama sungguh tak jumpa beliau, dah 5-6 tahun juga. Waktu Ummi bersalinkan Angah kot, Az dan isterinya posted a baby gift set to us. So thoughtful of them. Depa pun dah ada sepasang cahaya mata sekarang alhamdulillah.

Anak-anak memang seronoklah sebab ada rakan sebaya hihi... Lagipun ini selected invitation, bukan open house pun. Lebih santai, lebih masa untuk berborak, bertanya khabar kawan-kawan lama dsbnya. Makanan pun dimasak sendiri oleh tuan rumah dan kakaknya. Superb!


Main cikgu-cikgu lah apa lagi. 

Sorang right handed, sorang left handed. 

Keesokan harinya kami beraya di rumah cousin Walid. Tahun lepas tak hadir, tahun ni kenalah rajinkan diri :) Dapat juga jumpa Toksu Daud dan Toksu Nita dan ibu tuan rumah yang forever friendly, Wan aka Toknjang depa.


Cicit Tok Ipoh. 

Menu yang selalu ada di open house aP is nasi lemak. 2 tahun sudah kot, nasi lemak bungkus. Tahun ni nasi lemak senduk 😆😆😆 Maknanya kena senduk sendiri nasi/lauk nak banyak mana :D

Minggu ni beraya di mana? Tunggu 🤗

Tuesday, 18 June 2019

Selamat Pengantin Baru Amir & Ezzati 💝💝💝


Amir, anak sepupu Ummi ni dah bertahun Ummi tak jumpa. Kalau bertembung kat jalan belum tentu Ummi cam. Punyalah lama tak jumpa. Dah besar panjang dah sekarang ni. Dah kahwin pun 😄

Bulan Disember lepas bertunang dengan pasangannya, orang Johor. Raya cina hari tu dah nikah dan kenduri sebelah perempuan. Sekarang ni turn sebelah lelaki buat majlis sambut menantu. Kali ni ada rezeki kami sekeluarga attend majlis kenduri sepupu Ummi ni. Kenduri dua anak beliau sebelum ni kami tak dapat hadir. Kenduri yang pertama dulu kami hanya sempat attend majlis nikah sebab Walid nak outstation ke Sarawak tak silap Ummi time tu. Yang second pula bertembung dengan jadual Walid fly to Mumbai. Harap Ummi seorang nak drive balik kampung dengan anak-anak memang taklah. Kenduri Amir ni yang last rasanya sebab tu cuba hadir juga. Pakcik pun sanggup cancel trip nak berkereta ke Hatyai for his wedding. 

Majlis berjalan lancar nampaknya alhamdulillah. Makanan memang sedap sangat, lauk pauk kampung. Ulam + sambal belacan, ikan pekasam semua ada aih. Gambar takde sebab Ummi lapaq haha... Excited sebenarnya sebab dah lama tak makan kenduri di kampung sendiri. Nikmat tu hanya Allah yang tahu. 

Kelibat pengantin pun Ummi tak tengok sebab asyik sangat berborak dengan sanak saudara. Teruk betullah Ummi ni. Tapi itulah hakikatnya bila sesekali dapat berjumpa sanak saudara. 


Mujur pelamin ni dalam rumah, sebelah je ruang kami bersembang tu. Adalah juga kenangan majlis kahwin Amir ni. 

Untuk door gift, sekali lagi kami dapat kicap. Kali ni Kicap Mudim yang terkenal di negeri jelapang padi nun. Di samping tu ada juga kerepek bawang dan bahulu. Mak saudara Amir sebelah ibunya tauke kuih muih traditional. Dialah yang supply kuih muih ni. 



Selamat pengantin baru Amir dan Ezzati. Moga rumahtangga kalian dilimpahi rahmah, mawaddah dan sakinah. Aamiin.

Sunday, 16 June 2019

Raya 2019 ~ beraya di Baling pula


Raya ketiga kami balik ke Baling. Lepas jumaat, ambil kunci homestay dulu. Kemudian baru balik ke kampung Ummi. Singgah dulu di rumah sepupu Ummi, jemput Tok. Memandangkan hari sudah petang dan kebanyakan penghuni tak ada di rumah, keluar beraya agaknya  kami hanya singgah beraya di rumah Tok Imam. Selain nak beraya, sebenarnya kami nak ziarah isteri Tok Imam yang diserang strok ketika Ramadhan baru masuk hari kedua.

Rasulullah SAW berpesan dan menggalakkan kita  menziarahi orang sakit sebab banyak perkara yang boleh kita insafi bila kita tengok orang sakit. Pertemuan kami dengan isteri Tok Imam menyebabkan hati Ummi tersentuh. Ada sesuatu yang Ummi belajar dari pertemuaan ini. Moga diberi kesihatan dan kesembuhan buat beliau. 

Raya keempat kami menyambung ziarah ke rumah Makngah, kakak Ummi. Dapat jumpa cucu baru, Aisyah yang comel. Lebat hitam terpacak-pacak rambutnya 😁 di rumah Makngah ni kami 3 beradik bersama pasangan berkumpul bersama Tok. Tapi itulah, lupa nak bergambar :( Paklong tak balik beraya, tak berapa sihat katanya. 

Dari situ bergerak pula ke rumah Tok Ngah, satu-satunya ibu saudara Ummi yang masih ada. Seronok Tok dapat jumpa kakak iparnya. Tok Ngah ni umurnya dah 94 tahun, sebaya Tun M. Bila bandingkan umur Tok dengan Tok Ngah, rasa muda pulak Tok. Umur Tok baru 80 😄 Moga kedua-duanya diberi kesihatan yang baik selalu. 

Wajah kesayangan hamba ❤️

Itu je saudara mara di sebelah Ummi yang sempat kami ziarah. Masa tak mengizinkan sebab tengahari tu ada jemputan kenduri rumah sepupu Ummi. Lepas kenduri kami berkonvoi dengan Pakcik balik Ipoh. Traffic jam usah cakap. Dari Gerik ke Kuala Kangsar kereta berderet-deret, bersiput-siput kami atas jalan raya 😆😆😆 Dengan hujan lebatnya lagi. Bertabah je. Rayakan setahun sekali je :D