Tuesday, 27 July 2021

Nostalgia ~ Petai

Buah rambutan 2kg RM15, mata kucing 2kg RM10 manakala raja buah, sekarang dah tinggal RM5 sekilo. Yang masih mahal si petai ni, 5 papan (keping) sepuluh ringgit. 

Beli petai dengan Abg Omar, 5 keping sepuluh ringgit. Jiran kami ni ada kebun di Batang Kali khabarnya. 

Kecik-kecik dulu Ummi tak makan petai dan tempoyak. Busuk! Masa tu pokok petai Tok Wan tanam ada 5-6 pokok dan buah sentiasa lebat. Zaman tu kurang ada harga sebab masing-masing ada pokok sendiri, keterbatasan jaringan perhubungan serta pengaruh media massa langsung takde kot. Sebut nama Baling pun orang tak berani datang, takut komunis! Padahal aman sentosa je daerah kesayangan Ummi ni :) Zaman Tok Wan kecik2 dulu adalah komunis, askar Jepun semua tu. 

Seingat Ummi petai hanya dimakan samada ulam mentah atau dijeruk. Manakala tempoyak atau kami sebut 'asam derian' pula digaul bersama sambal belacan. 

Adakalanya petai terbiar masak di atas pokok dan akhirnya jatuh ke tanah jadilah petai cambah. Dalam memori Ummi, paling seronok mengutip petai cambah bersama arwah. Biasanya selepas hari hujan, kami akan masuk ke hutan kecil belakang rumah. Berebut-rebut menyelak dedaun kering mencari petai cambah. Petai cambah ni ialah mata petai yang mula berakar. Kalau tidak dikutip, akan jadilah anak pokok petai. Selain petai, ada juga jering cambah dan kenuak (kerdas) cambah. 

Bila Ummi masuk asrama, ternganga jugalah bila dengar kawan-kawan sebilik yang berasal dari bandar atau pekan makan petai. Naifnya Ummi, ingatkan petai hanyalah kegemaran orang kampung! 

Bila dah besar, berkelana ke ibu kota barulah Ummi belajar makan petai dan tempoyak ni. Padanlah muka, sudahlah kena beli sekarang ni, harganya pun tidaklah murah! Zaman mewah dengan buah kayu dah lama berlalu, dah ditebang dan diganti dengan pokok-pokok baka lebih baik katanya. Tapi, jika tak dijaga dengan elok dan dibiarkan tanpa pengawasan, tidaklah menjadi juga :( 

Sambal Tempoyak Ikan Bilis Petai
Kisar bawang merah, bawang putih, cili merah, cili hijau & ikan bilis. Tumis hingga pecah minyak, masukkan petai, diikuti tempoyak. Gaul sebati, perisakan dengan garam dan gula. Siap!

Bila berganding kedua-dua ni, bertambah-tambahlah nasi :D Abg Aqim kalau ada sambal tumis ikan bilis petai tak pandang dah lauk lain. Rindu dekat anak buah Ummi seorang front liner ni  😁

Lepas makan nasi, kita makan pula buah mata kucing ni, untuk sejukkan badan. Kopek, simpan dalam peti ais kemudian makan. Walah! 

Alhamdulillah tahun ni meriah dengan buah-buahan bermusim ni. Kita nikmatilah sepuas-puasnya. Bila bekalan banyak, harga pun lebih murah. Alhamdulillah rezeki juga untuk kita yang tak dapat balik kampung. 

6 comments:

  1. Seronok bila tiba musim buah-buahan. Macam macam jenis buah boleh rasa. Nostalgia petai akak, terhibur membaca. Tak kira orang bandar atau kampung ada je suka makan petai. Sedap buat sambal. Sedapnya buah mata kucing. Lama tak makan.

    ReplyDelete
  2. Sedapnya buah mata kucing dimakan dingin begitu.
    Di tempat saya ni pun petai mahal. Belum jumpa tempat yang jual murah lagi.

    ReplyDelete
  3. Sedapnya Sambal Tempoyak Ikan Bilis Petai.. Mengancam.. kikiki.. Sini pun petai mahal..

    ReplyDelete
  4. Haah petai mahal juga ya. Petai berkopek lagi mahal.

    ReplyDelete
  5. Uiiii....belah Sik & Baling memang kaya dengan hasil dusun kan...Dah 2 tahun tak ke Baling sejak Covid.Kalau tidak berselang raya kami akan ke Weng.Balik akan singgah Sik.

    ReplyDelete
  6. Boleh tambah 2 pinggan kalau makan sambal petai ikan bilis. Makan pula masa hujan. Memang mengundang nostalgia

    ReplyDelete