Monday, 21 June 2021

Nostalgia Kulat Sisir & Kulat Ton

Benarlah kata pepatah, tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain. Walaupun jauh dimata, kampung halaman sentiasa dihati. 

Ummi ni walaupun tinggal di perantauan tapi join juga group wasap kampung Ummi. Sebab, kami sekampung ada pertalian saudara. Dapatlah juga tahu perkembangan semasa di kampung selain bertanya khabar saudara-mara. Yang masih tinggal di kampung dan yang berhijrah mencari rezeki di luar kampung lebih kurang bilangannya. 

Hari ni group wasap kampung Ummi riuh-rendah berkongsi nostalgia makanan dan masakan kampung zaman kami kanak-kanak dulu... Semuanya gara-gara Maklong Mah tayang gambar kulat sisir (cendawan sisir) yang dipungutnya di kebun. Sekarang musim hujan di kampung jadi kulat ni galaklah tumbuhnya. Biasanya kulat sisir tumbuh di atas batang getah yang ditebang. 

Credit: Maklong Mah

Dulu-dulu Ummi suka ikut arwah Tok dan Tokcik Ya kutip kulat ni. Sejenis lagi kulat cuping kami panggil sebab bentuknya seakan cuping telinga :D Dek kerana namanya, Ummi tak makan kulat jenis ni. Hehe... 

Kulat sisir ni sedap dimasak kari bersama ayam. Kuahnya biar cair sedikit. Makan dengan nasi panas-panas. Sedapnya! Tapi, bila di perantauan, Ummi baru tahu rupanya kulat sisir juga boleh dimasak lemak cili api. Pun sedap juga. Kulat cuping pula biasanya dimasak sayur air atau masak bening. 

Ummi pernah jumpa kulat sisir ni di pasar pagi Greenwood. Baca sini: Nostalgia Buah Berangan.

Satu lagi kulat ton namanya. Di sesetengah tempat ianya dipanggil cendawan busut atau kulat pusu. 

Credit: Sinar Harian 

Warnanya putih bersih berbau wangi bila tumbuh. Tapi, awas ada jenis cendawan seakan kulat ton ni yang beracun. Bila makan, boleh mabuk atau pening. Sebab tu bila terjumpa kulat sebegini orang kampung biasanya datang berjumpa Tok Wan untuk dapatkan pengesahan. Sebab Tok Wan paling cekap mengesan dan kenal kulat ni. Biasanya kulat ni tumbuh di bawah dedaun pokok kenuak (kerdas) atau pokok durian. Ummi paling suka kudup cendawan ni. Kata Tok Wan, yang kudup lagi manis dari yang sudah kembang. Kembangnya hanya sehari dua jadi perlu cepat dikutip. Tak banyak pun, sekitar 10 kuntum sekali tumbuh. Walaupun sikit, tetap juga berbagi rezeki dengan Maklang Di sebab dia pun penggemar kulat ton. Pun dimasak air saja. Masih ingat lagi, Tok Wan suka hirup sayur kulat ton ni. Nikmat sungguh nampaknya :) 

Sekarang Ummi jarang dengar dah pasal kulat ton ni. Mungkin perubahan iklim, kandungan mineral dalam tanah ataupun tiada lagi pokok durian dan kenuak di dusun menyebabkan kulat ni tidak lagi muncul di dusun Tok Wan :( 







Sunday, 20 June 2021

Subjek PSV

Menarik betul subjek Pendidikan Seni Visual (PSV) anak-anak zaman sekarang. Macam-macam aktiviti kreatif yang diajar untuk anak-anak. Kadang tu rasa macam dah sama dengan standard overseas. Selalukan kita tengok kat TV anak-anak Mat Saleh buat aktiviti macam-macam untuk tingkatkan kreativiti depa. 

Buku ni anak-anak Ummi di SRAI guna. Sekolah lain pun sama kot... Terbitan Sasbadi. 

Penerangan lengkap untuk setiap aktiviti yang perlu dibuat. Aktiviti ni kalau kita buat sebagai aktiviti masa lapang dengan anak-anak pun best. Sebab tu Ummi simpan buku PSV ni yang tahun lepas-lepas punya. Bila ada free time boleh buat :D 

Seingat Ummi, dulu cuma belajar melukis, mewarna, kolaj itu je... Paling win pun buat mug dari surat khabar dan chop batang keladi, buah belimbing besi, bendi atas kertas lukisan :D 

Sekarang ni depa belajar macam-macam teknik lukisan dan buat kraf juga.

Cupcake 😍

Baru tahu bahagian kotak yang macam atap zink tu namanya kotak bergelugor. Selama ni Ummi tahu kotak is kotak je :D 

Hasilnya... 

Projek Bakul Cantik

Gunting dan lipatan, bukan gunting dalam lipatan ye :p

Adik pun tak kalah...

Seronok tau buat aktiviti seni ni dengan anak-anak. Cumanya sekarang ni kekangan untuk dapatkan bahan sebab stationery & book shops masih tidak dibenarkan beroperasi. Tapi, bila ada kekangan tu, lagilah kita jadi kreatif kan? 

Saturday, 19 June 2021

Resepi ~ Nasi Lemak Kuning Kedah & Ayam Masak Cabai

Sebab dah janji semalam, hari ni Ummi share resepi Nasi Lemak Kuning Kedah dan Ayam Masak Cabai. 


Nasi Lemak Kuning Utara biasanya dijual di warung/kedai-kedai kampung. Selalunya teloq sebijik, bukan suku macam nasi lemak bungkus kat KL ni : p Nasi dialas dengan plastik kemudian dibungkus pula dengan surat khabar lama. Juadah ni bukan hanya sesuai untuk sarapan, tapi dinner juga. Kawan baik dia yang selalu dijual bersama pastinya bihun sup Kedah. 

Di pekan Jitra dulu ada satu peniaga ni jual atas lori kecik je, tapi ada meja kerusi untuk pelanggan makan minum disitu sekain take away. Port wajib kami singgah kalau balik Jitra. Di sini, paling dekat boleh ke kedai Bihun Sup Kedah di Batu Caves. 

Selesai mukadimah, kita ke bahagian isi penting hihi...

Resepi: Nasi Lemak Kuning Kedah
Sumber: Mama Cella

Bahan-bahan
3 cawan beras - bersih dan toskan 
3 cawan air (ikut jenis beras)
1 sudu teh garam
1 sudu besar gula( opsyen) 
1/2 s/t pewarna kuning telur @ 1 s/t serbuk kunyit
2 sudu minyak+ 1 sudu merjerin - Ummi guna minyak sapi + minyak zaitun

Bahan tumis
2 biji bawang merah kecil- dihiris
2 ulas bawang putih- dihiris
Rempah 4 sekawan - kulit kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih & bunga lawang 
1/2 sudu besar lada hitam biji
Daun pandan - disimpul

Seperti biasa, Ummi guna periuk Noxxa. Untuk rice cooker biasa, jemput ke blog Cella ye. 

Cara-cara (Noxxa style) 
1. On butang stir-fry. 
2. Masukkan minyak + marjerin dan tumiskan bahan tumis hingga harum. Masukkan sekali daun pandan.


2. Masukkan 3 cawan air (ikut sukatan beras).  Tunggu hingga air mendidih.

# 1 cawan beras = 1 cawan air
# Kalau nak cepat, masukkan air panas baru mendidih. Tuangkan dalam rice cooker dan biar mendidih semula. 

3. Masukkan garam, gula dan pewarna kuning
4. Bila air mendidih, masukkan beras yang telah dibersihkan tadi. Kacau sebati. Off butang stir-fry. 
5. Tunggu sekejap hingga asap hilang, ambil penutup dan tutup periuk Noxxa. Halakan tombol pada Pressure dan tekan HP 8x. 
6. Bila dah beep dan wap hilang, buka penutup Noxxa dan gemburkan nasi dengan garfu. 

Allah, bau dia...

Regunya yang paling serasi pastilah Ayam Masak Cabai. Tapi, ada juga yang regukan dengan Ayam Masak Kicap Pedas. 

Sebetulnya Ummi baru tahu perbezaan Ayam Masak Cabai ni dengan Ayam Masak Merah. Itupun bila rujuk resepi Mama Cella, baru tahu perbezaannya. Dah lama sebenarnya dok cari resepi Ayam Masak Cabai yang selalu Ummi makan kecik-kecik dulu. Walaupun hampir sama dengan Ayam Masak Merah, tapi ada bezanya. Akhirnya Ummi pasrah je hinggalah jumpa resepi ni. 

Resepi: Ayam Masak Cabai
Sumber: Mama Cella

Bahan-bahan
1/4 ekor ayam
1/2 cawan minyak masak
Garam & serbuk kunyit
1 pokok daun bawang
1 sudu teh gula

Bahan Kisar
15 tangkai cili kering - buang biji & rebus lembut
1 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1 ketul kecil kunyit hidup
1 ketul kecil [anggaran besar ibu jari) lengkuas
1 batang serai
1 inci halia -Ummi tambah 

Cara-cara 
1. Ayam digaul garam kunyit dan goreng separuh masak. 
2. Tinggalkan minyak goreng ayam dalam kuali anggaran 1/4 cawan dan tumis bahan kisar hingga naik minyak.
3. Masukkan semula ayam yang sudah digoreng dan kacau rata. 
4. Tambah sedikit gula untuk seimbangkan rasa. 
5. Perisakan dengan garam dan tutup api.
6. Tabur daun bawang hiris. 

#Ummi masukkan gula dulu sebelum masukkan semula ayam yang telah digoreng separuh masak. Tujuannya supaya warna sambal lebih cantik dan dapat rasa sambalnya dah cukup manisnya atau tidak. 

Berbanyak terima kasih kepada Cella dan mamanya atas perkongsian resepi. Didoakan agar mereka sekeluarga sentiasa dalam lindungan-Nya 💖  Belum pernah bertegur sapa tapi Ummi suka baca blog Cella, especially bila nak cari resepi 😁

Selamat mencuba 🤗

Friday, 18 June 2021

Random Food Photos ~ Edisi Gombak I


Entry santai-santai je lah petang-petang Jumaat ni... sambil-sambil belek phone, sambil-sambil clear-kan photos dalam phone gallery. Untuk kali ni, kita mula dengan Edisi Gombak dulu ye.  Next time kita buat Edisi Jitra, Baling... :P

Biarlah orang cakap mental pun sebab suka snap & share gambar makanan haha.. Rasanya memang agak mental sejak Covid  yang dah masuk tahun ke-2 ni ;( 

Bihun Pa&Ma homemade. Senang sangat nak buat. Resepi nanti-nanti ye... 

Kari Kaki Ayam. Dah tak tau nak masak apa dah sebenarnya. Hari-hari masak ayam sampai dah tepu idea. Dua tiga hari lepas nampak Cik Puan SK masak kari kaki ayam ni, Ummi tiru je lah :) 

Semalam beli rambutan, Adik request. Sekilo RM 8. Tunggulah buah banyak nanti, tinggal sekilo 5 ringgit je selalunya. 

Pisang masak ranum ni sebekas RM5. Purposely beli untuk buat cekodok. Anak-anak suka. Ummi pun dah pandai buat cekodok sekarang. "Macam Tok buat", kata anak-anak. Alhamdulillah sebab sebelum ni arwah Tok rajin buatkan cekodok untuk depa. 

Kuih sago gedik-gefik dari Uncle Alam. 

Nasi Lemak Kunin & Sambal Ayam. Kalau loghat Utara pior, huruf g kat belakang tu ditiadakan (silent). Itu yang kuning jadi kunin :) Ummi ni depa panggil oghang Balin, instead of Baling 😁 Nanti Ummi share resepi Nasi Kunin Utara ni, انشاء الله

Birthday Feyel 11/6 dapat pizza, birthday cake & goodies. 


Homemade coleslaw. Konon nak buat set ala KFC, tapi coleslaw je yang jadi :( Ayam Goreng dan mashed potatoes tak jadi, takde gambar haha...

Siakap Stim Limau resepi Che Nom kot. 

Selamat berhujung minggu! 

Wednesday, 16 June 2021

Cerita Sakit Telinga


Kisah sebelum ni... 

9/6 Ummi ke klinik sekali lagi untuk follow up telinga Ummi. Masih tak selesa dan gatal dalam telinga walaupun sakitnya dah berkurang. Bila GP checked, memang ada nanah lagi dalam telinga. Sepatutnya bila makan antibiotics, nanah akan kecut dan kering. 

GP issued a referral letter dan minta Ummi jumpa E&T Specialist. 

Masa ni sakit betul telinga. Sampai tak lena tidur malam-malam...

Terus Ummi booked appointment dengan Dr AHJ (DH) yang rawat tonsil Abang dulu. 

12/6 First appointment dengan DH. Kali terakhir Ummi ke Pusrawi tahun Iepas, warded sebab demam. Itupun sebelum Covid 'sampai' di Malaysia. Bila jejakkan kaki ke sana Sabtu lepas, banyak pula checkpoint kena lalu :) Hanya pesakit dibenarkan masuk kecuali pesakit bawah umur, preggie moms, OKU, elderly boleh berteman. 

Mula tu DH sedut nanah dalam telinga Ummi tu... Procedure ni tak sakit, tapi seriau haha... Rasa macam telinga kena gerudi :D Tapi, ada side effect on certain people... Ummi rasa nak pitam! Pening berpusing-pusing so DH stopped the treatment. Minta Ummi relaks, buka mata... Sebab kalau pejam mata, Ummi rasa dah passed out kot. Then DH just masukkan antibiotic dalam telinga. Sebelum ni jenis pil, ini ointment.  

Setiap kali mandi Doc pesan pakai ear-plug ni untuk elakkan air masuk dalam telinga. Kena pastikan telinga kering betul baru jangkitan tu akan pulih. 

Mahal benda ni... Sekotak ni RM65... PM Care tak cover jadi kenalah bayaq sendiri huhu... 

Kali pertama lalu SJR. Excited Ummi nak rasai pengalaman lalu SJR... Kami tunjuk surat referral & GL sebagai rujukan. Rentas negeri untuk tujuan mendapatkan rawatan perubatan dibenarkan semasa PKP. 

15/6 Follow up. Alhamdulillah dah kering dalam telinga tu. Tapi, DH sedut juga kotoran2 yang dah terselit hampir dengan gegendang telinga. Kali ni Ummi tak pening dah. The other day sebab masih sakit, itu sebab rasa pening kata DH.

Ummi ni suka korek telinga... Old habits die hard. Stress juga bila Doc pesan jangan korek-korek dah telinga haha... Dari sekadar 'sakit telinga je', hampir 3 minggu juga berlarutan ujian ni. Apapun alhamdulillah everything goes back to normal...  







Monday, 14 June 2021

Day 1 PdPR 3.0

Credit source. 

Jangan kata separuh nyawa, sikit pun tak rindu dengan PdPR ni haha... Tapi, sebab dah makin terbiasa dengan keadaan ni, I tried to make the best of it. Segala persiapan dan kemudahan untuk PdPR anak-anak tetap Ummi sediakan the best we could. Satu je masalah, ink printer dah tinggal nyawa-nyawa ikan. Kedai stationery tutup sebab PKP. Terpaksalah  order online. Itupun ambil masa juga nak deliver katanya. 

Setiap fasa (?) PdPR, setiap kali tukar setting tempat belajar depa. Semuanya demi nak menghasilkan mood belajar yang terbaik untuk anak-anak. Gitew...

Kali ni dok tepi tangga pulak. Meja merah tu baru beli, RM100 sebab meja lama terbakaq masa letak tungku untuk rebus ketupat raya
hari tu 😅

Berbalik kepada PdPR, di pihak sekolah pun nampaknya lebih bersedia dan ada penambahbaikan dijalankan. Sebelum ni SRAI hanya 2 subjek 1 hari, dengan 2 set jadual berlainan untuk minggu genap dan minggu ganjil. Tapi, kali ni  3-4 subjek untuk satu hari. Sesi PdPR juga secara bersemuka di platform Google Meet, bukan sekadar tugasan melalui aplikasi WhatsApp dan Google Classroom sahaja. Ini bermakna, kelas Angah dan Kakak adalah secara back to back. Dari 8.00 pg hingga 1 t/hari adalah PdPR. 

Kakak ni kalau masuk kelas online, kemain bersemangat. Ummi di tingkat atas pun boleh dengar suara dia bila dia berinteraksi dengan cikgu :D

Kelas kedua dia dah penat duduk atas kerusi. Bersila atas lantai lagi selesa katanya :D. Asalkan nak belajar, Ummi ok je. 

Adik atas tilam pun boleh buat homework haha... Angah tu dah kelas no 4 tu... Belajar kat bilik Ummi pulak. Lemau dah tu :D 

Abang steady... Ummi dah tak perlu pantau sangat. But still kena push dia juga untuk siapkan tugasan cikgu bagi. Suka tangguh kerja 😇 Abang ni kelas dia lagi lama, sampai petang... Sekolah dia ikut macam jadual hari biasa. Sebelah petang ada tutorial, sebagai ganti 'kelas prep'. Mujoq 'prep malam' takde hehe..  Cuma minggu ni hafazan secara rakaman video sebab Ustaz Halaqah ada kursus. 

Untuk PdPR kali ni, Angah cakap dia nak jadi orang terawal siapkan setiap tugasan cikgu bagi... Petang tadi pulun buat tugasan PSV; Bakul Cantik. 

Semalam pulun buat tugasan Kek Cawan, tugasan sebelum cuti sekolah. Lama sangat KIV, last night baru turned in tugasan di GC. Takpe, kita raikan semangat dia 💪💪💪

Alhamdulillah all went well for day 1. Esok-esok tak tahulah kalau Ummi bertukar jadi singa 🤭


Sunday, 13 June 2021

Rindu Madinah

Semalam 12/6 bersamaan 1 Zulhijjah. Ikut kebiasaan, 1 Zulhijjah hari pertama jemaah haji kita berangkat ke Tanah Suci. Biasanya penerbangan awal masuk ke Madinah dulu. Sama juga dengan kami suami isteri 8 tahun dulu.  Walaubagaimanapun, sekitar
Maghrib semalam dimaklumkan bahawa ibadah haji tahun ini hanya untuk warga Saudi dan warga luar yang berada di Saudi. 


Mohon bersabar buat sahabat handai, saudara-mara, rakan taulan yang sedang menunggu panggilan istimewa ini. Tahun ni tahun kedua ibadah haji ditangguhkan  bagi jemaah luar Saudi. Ada kawan Ummi dah ambil vaksin wajib sebagai persediaan ke sana. Tapi, kita hanya merancang... Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Detik itu akan hadir, dengan izin-Nya aamiin 🤲 

Bandar Madinah 2 minggu lepas... Sayu tengok Madinah yang 'kosong'.

Credit source. 

Credit source. 

Bertambah sayu bila lihat Masjid Nabawi juga lengang 😭😭😭

Credit source. 

Gambar-gambar ni kiriman dari seorang kenalan di sana. Secara peribadi, Ummi sangat suka berada di Madinah. Sibuk, tapi tenang. Hangat, tapi mesra. Riuh, tapi berkat. Memang berhajat untuk bermastautin di sana. Siapa taknak berada di bumi penuh barokah ni kan... Seronok ikuti pengalaman Prof Kamil dan Kak Roza sekeluarga yang diberi rezeki menjadi warga Madinah selama beberapa tahun. Hari-hari mereka sekeluarga'berkampung' di Masjid Nabawi. Seronoknya! 

Teringat hari-hari kami lalui di Madinah. Awal pagi berpusu-pusu ke Masjid Nabawi yang jaraknya sekitar 50-60 meter dari Hotel Al Haram, hotel penginapan kami. Usai solat Subuh, kami suami isteri keluar dari masjid mencari sarapan. Kedai favorite ialah sebuah restoran Indonesia yang agak jauh sedikit dari masjid. Kadangkala kami hanya membeli kebab atau roti dan makan di dewan makan hotel. Minuman panas tersedia di sini. Usai sarapan, kami akan ke masjid semula untuk solat Dhuha, iktikaf dan membaca Al Quran. Ada ketika, kami round satu masjid untuk melihat kesan sejarah, mengintai-intai perkuburan Baqi' ataupun sekadar berdiri menatap 'kubah hijau itu'. Pasti jatuh airmata setiap kali menatapnya. 

Namun, ada juga kisah lucu yang berlaku di perkarangan Masjid Nabawi. Sedang kami suami isteri berjalan di sekitar Masjid Nabawi, tiba-tiba ada seorang remaja Arab bergegas menyapa Walid "Mahir Zain?" Belum sempat Walid jawab, terus dipaut bahu Walid dan minta Ummi ambilkan gambar. Sampai sekarang kami akan tergelak bila ingatkan peristiwa ni. Terasa seperti selebriti pula kena serbu sebegitu :D 

Ya Allah, angkat dan hapuskan wabak ini ( Covid-19) dari bumi-Mu agar kami dapat kembali ke rumah-Mu, menziarahi kekasih-Mu Ya Allah aamin aamin aamin Ya Mujib 🤲

Moga diberi rezeki untuk kembali ke sini lagi, dan lagi... 

Rindunya!