Bermula bulan lepas sibuklah ibu ayah yang ada anak di Tahun 6 (T6) mengisi borang permohonan untuk anak-anak masuk ke sekolah menengah (SM). Satu pengalaman berharga buat Ummi Walid.
Sebagai rujukan dan kenangan, Ummi kongsikan proses permohonan Abang ke sekolah menengah. Bukan satu dua borang, hampir 10 borang termasuk permohonan atas talian (online) yang diisi. Ada yang wajib diisi, ada yang pilihan sendiri. Ada yang diuruskan oleh pihak sekolah seperti feeder school dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan atas inisiatif ibu ayah sendiri seperti MRSM dan SBP.
|
Dah besar anak Ummi π |
1. Permohonan untuk Feeder School (diuruskan oleh pihak sekolah)
Permohonan ke feeder school wajib diisi oleh setiap murid sekolah rendah (sepanjang pengetahuan Ummi) sama ada sekolah kebangsaan atau sekolah swasta seperti SRAI.
25/8 Dapat borang permohonan feeder school. Perlu diisi dan dihantar sebelum/pada 28 Ogos 2020 (tarikh tutup permohonan).
Dalam borang permohonan, ada 3 pilihan feeder school yang diberikan i.e SMKSP, SMKSG & SMKGS. Pilih sekolah ikut keutamaan kita asalkan salah satunya adalah pilihan yang diberi oleh pihak sekolah. Kami pilih SMKSP sebagai pilihan utama manakala 2 lagi sekolah pilihan ialah SMKSK dan SMKH. Untung kalau dapat SMKSP sebab ianya sekolah berprestasi tinggi dan ada kelas aliran agama (KAA).
2. Permohonan (online) ke MRSM (diuruskan sendiri)
Permohonan dibuka dari 24 Ogos hingga 4 Disember 2020.
31/8 kami buat permohonan. Untuk kali pertama mendaftar, kita diberi kata laluan (password). Simpan password yang diberi untuk sebarang urusan berkaitan permohonan ini; amendment, semakan dsbnya. Berbanding permohonan ke sekolah khusus, MRSM memberi peluang kita memilih 5 aliran/lokasi. Mulanya kami isi aliran teknikal untuk pilihan pertama (ikut kehendak Abang), tapi pada 23/9 kami buat amendment kerana dimaklumkan jika tidak memilih aliran Ulul Albab (UA) sebagai pilihan pertama maka tidak akan dipanggil untuk temuduga aliran (UA). Rugi pula rasanya jika tidak mencuba sedangkan Abang ada potensi dalam hafazan.
Setiap calon akan menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM). Tarikh UKKM adalah seperti berikut;
> 21 - 27 September ✔️
> 5 - 8 Oktober > 12 - 15 Oktober ✅
> 23 - 26 November
> 7 - 10 Disember
UKKM bulan Oktober ni sepatutnya bermula pada 5-6 Oktober tapi dianjak ke minggu depannya. Malangnya, ada yang clashes date dengan tarikh ujian ke sekolah khusus (Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus-PKSK). Jadi, terpaksa reschedule. Dan dengarnya ramai yang ditempatkan di pusat ujian bukan pilihan. Contohnya pusat ujian pilihan di BMI-Unikl Gombak tapi ditempatkan di MRSM Trolak, MRSM Kuala Kangsar, Kuala Kubu Baru dsbnya. Ditakdirkan pula Selangor, KL dan Putrajaya PKPB jadi hanya 2 hari pertama sahaja calon-calon dari Lembah Klang ni dapat ke UKKM. Negeri-negeri lain selain Sabah, UKKM berjalan seperti dijadualkan.
3. Permohonan KAA dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) - diuruskan oleh pihak sekolah
11/9 Abang bawa balik 6 keping borang permohonan KAA dan ke SABK termasuk Sekolah Agama Menengah (SAM) dan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS).
Ada 2 parts borang ni...
A. Borang permohonan ke KAA dan SAM Tanjung Karang (SAMTAK).
Kenapa SAMTAK? Sebab lepasan SRAI sekolah Abang ni automatik penempatannya di SAMTAK, jika memilih SAM. Ini directive from JAIS. Maknanya setiap SRAI dah ditetapkan penempatan SAM.
Borangnya simple saja, kena pilih KAA first atau SAMTAK first. Jenuh juga Ummi risik-risik dengan cikgu, ibu-ibu lain. Ada orang jenis isi dulu, dapat offer nanti baru fikir balik. Ummi pula kalau boleh taknaklah sekadar isi, biarlah ditimbang dulu pro & cons setiap pilihan yang perlu dibuat.
B. Borang permohonan ke SABK (SAM & MITS)
Walaupun lepasan sekolah Abang ni secara automatik akan diserap ke SAMTAK jika pernohonan berjaya tapi tetap juga diberi peluang memohon SAM lain iaitu SAM Muhammadiah (SAM-ONE) dan SAM Bestari Subang Jaya (SAMBEST). SAM-ONE satu-satunya SAM yang menawarkan Kurikulim Bersepadu Tahfiz (KBT). SAM lain menggunakan Kurikulum Bersepadu Dini (KBD). Manakala SAMBEST pula untuk high achievers.
Selain itu, murid-murid SRAI juga menerima borang permohonan ke MITS. Sama juga seperti SAM, ada MITS tertentu yang telah ditetapkan oleh JAIS untuk setiap SRAI. Pilihan MITS sekolah Abang ialah MITS Kuala Langat manakala pilihan lain ialah MITS Sabak untuk kedua-dua aliran Turath dan Dini (borang berasingan). Jadi untuk KAA dan SABK ni ada 6 borang kesemuanya. Lenguh jari jemari mengisi borang sampaikan tersalah tulis! Oh ya, permohonan untuk semua ni telah ditutup pada 18 September lepas.
Memandangkan tahun ni UPSR & PSRA dibatalkan, jadi permohonan akan dilihat pada prestasi Peperiksaan Akhir Tahun Darjah 3, 4 & 5. Antara kriterianya ialah mesti lulus subjek Bahasa Arab (BA) untuk ketiga-tiga tahun tersebut. Nampaknya kena jugalah memastikan rekod peperiksaan anak-anak sentiasa 'cantik'. Nak kena ingatkan Angah supaya usaha lebih. Untuk Abang, alhamdulillah tidak pernah gagal subjek BA.
4. Permohonan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP)
16/9 Hari Malaysia... Kami isi permohonan ke SBP pula. Tahun ni permohonan ke SMKA juga dimasukkan di bawah KPM. Single entry point berdasarkan PKSK. Untuk ke SMKA, akan ada satu lagi ujian iaitu Pentaksiran Murid Aliran Agama (PMAA). Kalau pilih Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) pula akan ada ujian hafazan. Ingatkan lagi senang bila tiada UPSR, tapi tidak juga π
Dengan pelbagai uncertainties, misinformation, first timers experience dsbnya, banyak cabaran terpaksa dihadapi. Memang special batch corona ni :)
22/9 Bila dapat maklumat katanya PMAA hanya akan dijalankan ke atas murid yang memilih SMKA sebagai pilihan pertama sahaja, terpaksalah kami buat pindaaan. Mujur permohonan masih dibuka. Tarikh tutupnya 2 Oktober. Untuk SBP, kita boleh mohon 3 sekolah sahaja.
Sepatutnya tarikh PKSK Abang 15/10 di SBPI Gombak tapi disebabkan PKPB terpaksa ditunda hingga ke satu tarikh lain.
|
Tq Kira ❤️ |
5. Permohonan ke Sekolah Menengah Integrasi Sains & Tahfiz (SMISTA-MAIWP)
Permohonan ke sekolah menengah agama di bawah seliaan MAIWP dibuka pada 12 hingga 25 Oktober 2020.
18/10 Kami isi permohonan ke sekolah MAIWP. Ada tiga pilihan yang diberi iaitu SMAWIP KL, SMAWIP Labuan dan SMISTA. Hanya satu pilihan dibenarkan jadi kami pilih SMISTA kerana menawarkan KBT.
Alhamdulillah selesai bab permohonan. Sekarang tunggu panggilan ujian dan interview. Moga ada rezeki Abang untuk ke sekolah yang bagus. Bagus untuk dunianya dan akhiratnya Insha Allah. Doakan ye π€